IPOH - Kerajaan Perak termasuk pihak berkuasa tempatan di negeri ini diharap memberikan peluang kepada permohonan untuk membuka pasar tani dengan konsep baharu iaitu di perkarangan masjid.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Basri Jasmo berkata, setakat ini hanya tiga masjid di negeri ini yang membenarkan pasar tani beroperasi berbanding 16 yang dibuka oleh FAMA di seluruh negara.
Menurut Basri, secara tidak langsung masjid berkenaan akan memiliki aktiviti ekonomi yang boleh menyumbang semula kepada keperluan masjid.
"Kami lihat terdapat ruang di masjid yang boleh muat 40 hingga 50 peniaga. Jadi ini satu lagi aktiviti yang boleh difikirkan untuk memeriahkan pasar tani di kawasan masjid. Selain itu, kita juga membuka peluang kepada peniaga terdiri golongan asnaf untuk mencari sumber pendapatan baru. Kita perlu bantu mereka.
"Pembukaan pasar tani dengan konsep baru ini juga akan membuka peluang perniagaan kepada lebih ramai peserta bagi menambah pendapatan harian dan sekali gus menangani kos sara hidup hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Santai Mesra sempena lawatan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Ushawan, Asmuni Awi ke Pasar Tani Silibin di sini, hari ini.
Sementara itu Basri berkata, FAMA menyasarkan pembukaan 25 pasar tani baharu manakala 16 pasar tani di perkarangan masjid seluruh negara juga akan ditambah ke jumlah yang munasabah tertakluk kepada keputusan pihak jawatankuasa masjid serta kerajaan tempatan.
"Konsep pasar tani ni tak semestinya dibuka pada waktu siang. Kita ada beberapa pasar tani yang buka petang sampailah ke malam seperti di Kampung Gajah, Parit dan kita melihat kepada keperluan dan kesesuaian,” katanya.