Maritim tumpaskan kegiatan pindah minyak secara haram

Iklan
Dua buah kapal ditahan Maritim Zon Kemaman selepas dipercayai memindahkan minyak tanpa permit di perairan Pelabuhan Kemaman, semalam.

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman berjaya menumpaskan kegiatan memindahkan minyak secara haram selepas menahan dua kapal di sekitar perairan Pelabuhan Kemaman, semalam.

Kedua-dua kapal itu ditahan ketika kru kapal sedang leka melakukan pemindahan minyak di perairan 3 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Kemaman jam 10.10 pagi, semalam.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kedua-dua kapal itu ditahan anggota Maritim yang melakukan rondaan rutin di perairan Terengganu.

"Ketika melakukan rondaan, didapati dua buah kapal yang berhimpit antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan dan disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (Ship to Ship).

Iklan

"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua kapal berkenaan sedang memindahkan sejumlah 50,000 liter diesel dengan nilaian keseluruhan RM130,000 tanpa permit di perairan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, apabila diperiksa, kedua-dua kapal itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran atau permit daripada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal.

Iklan

Rashidilhadi berkata, terdapat sembilan anak kapal terdiri termasuk empat warga Bangladesh berusia antara 22 dan 56 tahun berada di atas kedua-dua kapal tersebut.

"Kesemua anak kapal bersama kedua-dua kapal ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal.

"Maritim memandang serius perkara ini dan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas kapal-kapal yang bersauh di perairan negara ini bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi,” katanya.