Covid-19: Polis ketat kawalan sempadan Pahang

Iklan
Polis memperketatkan pengawalan di laluan tikus dan sempadan di negeri ini dengan mengadakan pemantauan secara 24 jam sehari bagi mengekang penularan pandemik koronovirus (Covid-19). Gambar hiasan fail Bernama.

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Polis memperketatkan pengawalan di laluan tikus dan sempadan di negeri ini dengan mengadakan pemantauan secara 24 jam sehari bagi mengekang penularan pandemik koronovirus (Covid-19).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, langkah itu diambil bagi mengelak mana-mana individu berada di zon merah memasuki negeri ini tanpa surat kebenaran.

Iklan
Iklan

"Semalam kita telah mengarahkan seramai 49 individu supaya berpatah balik. Mereka ini dari zon merah didapati menggunakan lorong tikus untuk melancong ke negeri ini.

"Kita bertegas dalam perkara ini kerana Pahang masih berada di zon hijau. Malah, kita juga alu-alukan mereka ini menjalani ujian swab test Covid-19 bagi memastikan mereka negatif ketika memasuki Pahang, di samping dapatkan surat kebenaran rentas sempadan negeri dari pihak polis," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Kursus Pengendalian Motosikal Ringan Kelas B2 bagi Amanita Kontinjen Pahang Siri1/2020 di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alor Akar, hari ini.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusof Hassan Basri.

Abd Jalil berkata, lebih 170 anggota pasukan keselamatan telah ditempatkan di laluan tikus dan sekatan jalan raya di sempadan negeri ini; antaranya di Rompin, Bentong, Kuantan dan Bera.

Iklan

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan banjir, Abd Jalil berkata, pihaknya sudah bersiap siaga menghadapi bencana banjir yang dijangkakan berlaku dari November sehingga Mac tahun hadapan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini masih belum ada yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pahang, namun pihaknya sudah bersedia seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

Berikutan itu, katanya, pihaknya melaksanakan program simulasi di Temerloh pada hari ini sebagai persiapan rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Proses pemindahan banjir kali ini tentunya berbeza daripada tahun sebelum ini. Antaranya di PPS kita sediakan bilik isolasi, hanya satu keluarga akan diletakkan dalam satu bilik darjah selain makanan juga akan disediakan secara bungkus berbanding mereka masak sendiri sebelum ini," katanya.