KAJANG - Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan memperkukuh kolaboratif dengan Majlis Profesor Negara (MPN) dalam usaha meningkatkan pemahaman masyarakat umum mengenai isu tertentu.
Pengerusi Bernama, Senator Ras Adiba Radzi berkata, kepakaran dan juga pandangan cendekiawan negara itu diperlukan, terutamanya dalam mengupas isu teknikal dan Bernama bersedia menyediakan platform untuk mereka.
Menurutnya, usaha itu juga dapat merapatkan jurang selain memberikan masyarakat akses langsung kepada kepakaran profesor.
"Bernama akan terus berkolaboratif dengan barisan profesor tersohor negara dan kita akan memastikan yang mereka ini 'accessible' kepada rakyat.
"Mereka adalah cendekiawan kita semua dan daripada merekalah kita boleh belajar serta memahami agar bangsa kita lebih berjaya,” katanya selepas menjadi tetamu dalam Program Minda Profesor Negara anjuran MPN di sini hari ini.
Itu adalah penampilan umum pertama Ras Adiba sebagai Pengerusi Bernama selepas dilantik memegang jawatan tersebut berkuat kuasa Isnin lalu.
Sementara itu, Presiden yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, profesor adalah 'public intellectual' yang bersedia memberi khidmat kepakaran mereka kepada masyarakat.
Beliau berkata, mereka terhutang budi kepada negara dan juga masyarakat kerana kebanyakan profesor dibiayai oleh kerajaan untuk menjadi pakar dalam bidang masing-masing.
"...yang penting platform itu kena ada. (Kerjasama dengan) Bernama memang kita dah ada program-program sebelum ini, tetapi kerjasama ini akan lebih bermakna dengan kerjasama serta sokongan pengerusi baharu.
"Kita boleh aturkan bagaimana kepakaran profesor ini kita boleh ketengahkan dan kita cari program yang boleh kita berkongsi dengan masyarakat,” katanya.
Terdahulu pada program bertajuk ‘Bernama dan Masa Depan Media Massa di Malaysia’ itu, Ras Adiba menerangkan antara misi utamanya selaku Pengerusi Bernama ialah memastikan setiap platform yang disediakan agensi berita tersebut mesra golongan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, penyampaian maklumat seperti pembuatan poster perlu mengambil kira pelbagai aspek untuk membantu golongan itu supaya tidak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat sama dengan orang lain.
Sebagai contoh, beliau berkata, masyarakat bukan OKU lebih mudah memahami maklumat daripada poster berbanding OKU yang perlu mengambil masa untuk memahami mesej yang cuba disampaikan.
"Oleh itu, kita kena pastikan poster kita perlu buat satu untuk bukan OKU dan satu mesra OKU. Untuk OKU biasanya logo dan fon (huruf) perlu besar dan warna juga mainkan peranan.
"Saya nak orang tahu bahawa Bernama ini satu agensi yang mesra dan ramah OKU. Kita tidak 'discriminate', saya nak pastikan sahabat OKU kita duduk di depan TV dan dengar radio mereka juga akan dapat informasi. Bernama untuk semua,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ras Adiba Pengerusi Bernama baharu