KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyarankan peladang tempatan agar mengoptimumkan penggunaan tanah mereka dengan ‘mix farming’ (pertanian campuran) bagi mengelak kebergantungan pada hanya sejenis tanaman.
Beliau berkata pertanian campuran dilihat dapat membantu petani daripada terperangkap dengan kejatuhan harga sesuatu komoditi seperti kelapa sawit atau getah.
"Kalau kita ada tanah, mesti kita ‘mix farming’.
"Jangan kita pegang pada satu jenis sahaja... kerana kalau jatuh harga, kita akan hadapi masalah. Dalam cash crop pun, kita ada timun, cili, tomato dan kalau kita rotate ini ikut pasaran, kita tidak akan putus pendapatan hanya kerana jatuh harga satu jenis tanaman yang kita monopoli,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam laman Facebooknya.
Video itu dimuat naik selepas lawatan beliau ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jalan Kebun, Klang; Taman Agro-Fertigasi, Kajang; dan TKPM Bukit Changgang (Tanaman Orkid), Banting hari ini.
"Saya kagum dan terkejut melihat perladangan sayur-sayuran secara teratur, inilah cara kita yang boleh kita bergantung kepada perladangan untuk sara hidup kita.
"Luasnya tidak begitu, tetapi kalau kita tanam kelapa sawit di atas tanah ini, hari ini harga kelapa sawit jatuh, kita akan menangis... tetapi kalau satu bahagian ada kelapa sawit, satu bahagian kita tanam cash crop, maka kita tidak akan terperangkap dengan kejatuhan harga kelapa sawit ataupun getah,” katanya.
Dr Mahathir berkata petani terutamanya golongan muda perlu sanggup untuk menerima cara baharu itu dan harus mempunyai disiplin kerja yang tinggi untuk menjayakannya.
"Kalau tidak ada disiplin kita tak boleh maju... kita kena rajin kita kena kurangkan bergantung kepada pekerja-pekerja terutama pekerja asing. Sebaliknya yang kita boleh buat sendiri...kita buat sendiri.
"Kita kena tukar cara kita, kita akan berjaya sebagai peladang moden, ‘gentleman farmers’... itulah hasrat kita,” katanya. - Bernama