ALOR SETAR - Rakyat Kedah digesa menolak empat ahli Parlimen dari negeri ini sekiranya mereka dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Abdul Hadi Omar berkata, empat wakil rakyat terbabit adalah Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah serta Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Menurutnya, ini kerana tindakan mereka yang cuba mengetepikan hak petani, penoreh, nelayan dan pekerja kerajaan serta swasta apabila menolak Belanjawan 2021 melalui undian belah bahagi.
"Walaupun Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) berjaya diluluskan di peringkat dasar setelah lebih suara menyokong, namun usaha menolak bajet yang menguntungkan rakyat itu mengecewakan banyak pihak.
Lebih mengecewakan rakyat Kedah apabila usaha menolak perancangan kewangan untuk rakyat itu bermula daripada cadangan ahli Parlimen dari Kedah sendiri,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Cubaan menolak belanjawan itu dengan 13 ahli Parlimen pembangkang bangkit apabila usul undian belah bahagi dibuat oleh Mahfuz menemui kegagalan kerana tidak mencukupi bilangan minima 15 ahli Dewan Rakyat.
Ini kerana untuk membuat usul belah bahagi memerlukan sekurang-kurangnya 15 ahli Dewan Rakyat.
Rang Undang-Undang (RUU) itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.
Abdul Hadi berkata, hakikatnya pembangkang sendiri tidak dapat menolak pelbagai keuntungan diperoleh rakyat menerusi beberapa inisiatif baharu yang dibentangkan dalam usul Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu yang diluluskan dalam undian itu.
"Usaha mereka terpinggir dan tidak disokong oleh majoriti pembangkang menunjukkan langkah mereka tempang, gopoh dan berniat provokatif,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya dari Kedah agar meningkatkan prestasi kerja untuk rakyat dan bertindak matang, bukan membangkang secara membuta tuli.
ARTIKEL BERKAITAN: Usul Belanjawan 2021 diluluskan
Isu hanya 13 orang pembangkang bangun panas di media sosial