KOTA BHARU - Bacaan paras air di sembilan sungai utama di Kelantan berada melepasi paras normal sehingga jam 6 petang tadi memandangkan hujan turun dengan lebat di beberapa daerah di negeri ini sejak semalam.
Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my sehingga jam 6 petang tadi, paras air di Sungai Lebir di Kuala Koh Gua Musang mencatatkan bacaan 63.17 meter (m) melepasi paras normal 62.00m dan Sungai Galas di Limau Kasturi pula 54.26m melepasi paras 53.00m.
Sungai Lebir di Tualang pula mencatatkan bacaan 23.02m melepasi paras normal 23.00m dan Sungai Kelantan di Kuala Krai juga mencatatkan bacaan lebihan normal iaitu 19.44m menghampiri paras jaga-jaga iaitu 20.00m.
Sungai Kelantan di Kusial pula mencatatkan bacaan 10.12m iaitu melebihi paras normal 10.00m dan Sungai Golok di Jenob juga mencatatkan bacaan melebihi paras normal iaitu 20.87m (normal 19.00m).
Sungai Kelantan di Jeti Kastam mencatatkan bacaan 1.41m iaitu melebihi paras normal 1.00m, Sungai Kelantan di Air Mulih juga melebihi paras normal iaitu 5.11m (normal 4.00m) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh juga melepasi paras normal iaitu 0.81m (normal 0.40m).
Dua lokasi masih berada di bawah paras biasa iaitu Empangan Bukit Kwong di Sungai Golok 15.31m (normal 16.76m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu iaitu 0.66m (normal 0.70m).
Hanya satu sungai yang berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.22m (jaga-jaga 7.00m).
Berdasarkan info e.Banjir, sehingga jam 6 petang tadi tiada pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri ini.