KEJADIAN tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar baru-baru ini sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menimbulkan kerisauan kepada penduduk setempat yang tinggal berhampiran sempadan di Bukit Kayu Hitam biarpun kejadian itu berlaku hampir 50 kilometer jauhnya.
Sungguhpun risau, penduduk di sini tetap yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan mengawal sempadan daripada dibolosi penyeludup.
"Apabila dengar berita kejadian anggota PGA ditembak, saya mula risau tambahan pula suami saya salah seorang anggota yang berkhidmat di sempadan di sini.
"Saya tinggal di Taman Desa Bayanmas, kira-kira satu kilometer dari pintu sempadan. Saya harap kejadian ini tidak berulang lagi dan keselamatan sempadan kita juga dapat dipertingkatkan dari segala aspek,” kata seorang penduduk, Masliza Zakaria, 36 kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Yamida, 38, berkata, kejadian berkenaan tidak menimbulkan kerisauan kepadanya kerana yakin keselamatan penduduk terjamin dengan adanya anggota keselamatan di sempadan.
"Nak kata risau sangat pun tidak juga, sebab kita tahu markas PGA ada berdekatan sempadan.
"Mereka duduk di tengah-tengah antara perkampungan penduduk dan sempadan Malaysia-Thailand.
"Saya harap kejadian ini tidak berlaku lagi kerana sudah menjadi isu antarabangsa. Kes ini pun sudah tular dan menjadi bualan hangat dalam komuniti di Thailand,” katanya yang berasal dari Thailand sebelum berkahwin dengan rakyat tempatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand
Rakyat Malaysia jadi dalang sindiket penyeludupan di sempadan