Ops Noda bongkar 'private party' di balik premis spa

Iklan
Laluan khas di sebuah premis spa di Seri Kembangan, Selangor, yang digunakan untuk pelanggan dan GRO melarikan diri selepas diserbu polis malam tadi.

SERDANG - Polis membongkar kegiatan 'private party' yang menawarkan layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) di sebuah premis spa di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, serbuan Ops Noda kira-kira jam 11.30 malam itu dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dengan Balai Polis Seri Kembangan hasil aduan awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 19 individu terdiri daripada lapan lelaki dan 11 wanita ditahan.

"Siasatan mendapati, lelaki terbabit adalah pelanggan premis berkenaan, manakala wanita itu disyaki GRO warga Vietnam.

Iklan

"Kesemua mereka ini dikesan bersembunyi di bilik tersembunyi selepas menyedari kehadiran pihak polis yang memecah masuk dari pintu belakang premis setelah intipan dilakukan kira-kira lima jam," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, premis terbabit dipercayai hanya menawarkan kegiatan 'private party' kepada pelanggan tertentu sahaja.

Iklan

"Polis percaya tiada tawaran khidmat spa disediakan berikutan keadaan premis yang tidak terurus dan agak kosong.

"Malah premis itu juga didapati terdapat beberapa laluan rahsia bagi membolehkan pengunjung atau GRO terbabit melarikan diri," katanya.

Razali berkata, bagaimanapun pihaknya masih menyiasat bayaran atau cas yang dikenakan untuk kegiatan parti liar terbabit.

"Sembilan pelanggan warga tempatan itu turut dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Katanya, kesemua tangkapan dibawa balik ke IPD Serdang dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.