PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard yakin pemain pertahanan kentalnya, Thiago Silva Blues mampu melaksanakan tugas mengekang asakan jentera serangan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspurs diterajui bintang England, Harry Kane dan Son Heung -Min (Korea Selatan), di Stamford Bridge, awal pagi nanti.
Keyakinan itu disuarakan Lampard berdasarkan kepada pengalaman serta sifat kepimpinan pertahanan kelahiran Brazil yang dilihat dapat mengekang asakan-asakan daripada duo serangan 'berbisa' dalam saingan EPL ketika ini.
Malah menurut Lampard, keputusan untuk menandatangani Silva secara percuma daripada Paris Saint-Germain (PSG) Ogos lalu adalah tindakan tepat, biarpun pemain berkenaan telah berusia 36 tahun.
"Perkara utama yang perlu diberikan perhatian apabila berdepan dengan pemain hebat seperti Kane dan Heung-Min adalah untuk kekal fokus kerana ia akan memberikan anda semangat beraksi selain mengekalkan rekod tanpa bolos.
"Kualilti ini ada pada Silva kerana dia bukan sahaja memiliki kemahiran individu tetapi juga memainkan peranan beraksi sebagai satu unit dan dia (Thiago) adalah ketua bagi unit berkenaan.
"Bagi Kane, mungkin dia sering memberikan masalah kepada pemain-pemain pertahanan di seluruh dunia tetapi berdasarkan kualiti serta pengalaman yang dimiliki, saya yakin dia (Silva) mampu untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan sekali gus mempengaruhi rakan-rakan sepasukannya," katanya.
Chelsea kini berada pada kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 18 mata hasil lima kemenangan, seri tiga kali dan tewas sekali daripada sembilan perlawanan.
Sementara itu, Lampard mengesahkan skuad The Blues itu merancang untuk melanjutkan kontrak Silva untuk terus beraksi di Stamford Bridge selama semusim lagi.
"Saya juga telah melihat laporan yang mengatakan Silva masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan pasukan bagi melanjutkan kontraknya bersama Chelsea.
"Bagaimanapun, sebenarnya masih ada pilihan pada kontrak berkenaan dan berdasarkan kepada prestasi semasanya, kita cukup gembira (jika dia terus berkhidmat bersama Chelsea)," katanya.