KOTA BHARU - Penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas diingatkan supaya berwaspada kerana paras air di sungai itu kini telah melepasi paras bahaya susulan hujan yang berlarutan sejak semalam.
Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 10 pagi ini, paras air di sungai itu berada pada bacaan 9.02 meter iaitu melepasi sedikit paras bahaya sembilan meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, paras air di Sungai Golok di sini ketika ini meningkat disebabkan hujan lebat sekali-sekala di kawasan berkenaan sejak semalam.
"Ia adalah bacaan paras air tertinggi setakat ini. Peningkatan paras air sungai naik secara mendadak berikutan berlaku taburan sesekali hujan lebat di daerah ini selain di Hulu Golok sejak semalam.
"Sekiranya paras air mencapai bacaan 10 meter, ia akan mengakibatkan banjir dan akan terdapat pemindahan mangsa-mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Imran berkata, beberapa penempatan di kawasan rendah sekitar Rantau Panjang termasuk Kampung Kusar, Kampung Lanchang, Kampung Bongor dan Kampung Terusan sudah dinaiki air sekitar 0.4 meter.
"Setakat ini, masih tiada penduduk dipindahkan dan pihak kami menasihatkan kepada penduduk terutamanya di kawasan rendah dan tebing sungai diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir akan melanda daerah ini jika keadaan hujan lebat berterusan.
"Malah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Rantau Panjang juga sudah bersiap sedia sepanjang masa dengan anggota dan juga aset-aset terhadap sebarang kemungkinan banjir," katanya.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga jam 8 pagi tadi, tiada pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri dan cuaca di seluruh Kelantan pada pagi ini adalah mendung di beberapa kawasan dengan sesekali hujan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Paras air Sungai Golok di peringkat amaran
Paras air lima sungai di Kelantan meningkat