PRK Gerik: UMNO pilih calon tempatan, harap tiada parti lain bertanding

Iklan
Ahmad Zahid (duduk) membacakan doa ketika menziarahi Muhamad Zan Mat Zain, 33, ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Rungkup Kecil hari ini.

BAGAN DATUK - UMNO akan memberi keutamaan kepada anak tempatan untuk diletakkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik yang dijadual berlangsung pada 16 Januari depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah pasti pihaknya akan memilih calon terbaik dalam kalangan calon-calon yang disenaraikan nanti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun UMNO belum sampai ke peringkat memilih calon bagi PRK Parlimen Gerik itu, namun perkara itu akan diserahkan kepada Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad untuk diselesaikan.

"Kita akan menyenarai pendek nama-nama itu apabila UMNO Bahagian Gerik akan mengemukakannya kepada UMNO negeri dan UMNO negeri akan mengemukakan kepada saya selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk kita muktamadkan.

Iklan

"Jika ada PRK, kita akan melakukan kempen pilihan raya bagi mendekati lebih 36,000 pengundi di Parlimen Gerik yang kita menangi pada PRU14 menewaskan calon Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Program Ziarah Kasih di Kampung Rungkup Kecil di sini hari ini.

Ahmad Zahid dalam pada itu mengharapkan Pas dan Bersatu tidak meletakkan calon di Gerik atas semangat kerjasama di dalam Muafakat Nasional dan dokongan BN di dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Iklan

Beliau juga turut mengharapkan agar tiada calon lain sama ada daripada pembangkang mahupun calon bebas bertanding di kerusi Parlimen Gerik itu memandangkan negara masih berdepan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Namun jika ada calon lain sama ada bebas atau calon parti lain yang berhasrat untuk bertanding, saya harap dalam keadaan begini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, maka paling molek kita tak ada calon yang menawarkan diri.

"Maka beri peluang terus kepada calon BN yang akan memberikan kesinambungan terhadap khidmat bakti dibuat Ahli Parlimen Gerik terdahulu, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman," katanya.

Katanya, walaupun kawasan Parlimen Gerik di dalam zon hijau, pihaknya melihat bahawa pertandingan bagi kerusi itu masih perlu dielakkan.

Ditanya sama ada kemungkinan darurat akan diisytiharkan di kawasan Parlimen Gerik seperti Parlimen Batu Sapi, Ahmad Zahid membayangkan perkara itu tidak berlaku kerana Gerik merupakan kawasan hijau berbanding kawasan Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang berada di dalam zon merah Covid-19.

Sementara itu, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah, Ahmad Zahid meletakkan kepercayaan kepada Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menentukan sama ada mahu meletakkan calon atau sebaliknya.

Kerusi Parlimen Gerik kosong selepas penyandangnya, Hasbullah meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang pada 16 November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Allahyarham memperoleh 13,243 undi menewaskan pencabarnya iaitu Mohd Dahalan Ismail dari Pas dan Ibrahim Mohd Hanafiah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Gerik meninggal dunia

PRK Gerik, Bugaya 16 Januari 2021