KUALA LUMPUR - Perjuangan pemuda Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan kesinambungan perjuangan daripada pejuang terdahulu.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika berucap menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, berkata, perjuangan Melayu dan pribumi bukan agenda baharu dan mereka merupakan penerus perjuangan itu.
"Kedudukan unik Bersatu di teras pemerintahan negara meletakkan beban yang besar di bahu kita. Memandangkan pengundi muda akan membentuk kumpulan terbesar dalam pilihan raya akan datang, kejayaan parti bergantung sepenuhnya kepada tawaran yang mampu menarik minat, menepati citra dan aspirasi mereka.
"Bersatu teguh, bercerai roboh. Perjuangan Melayu dan pribumi kita tidak menafikan kemajmukan dan muhibah bangsa Malaysia. Selari dengan Perlembagaan Malaysia, Bersatu komited untuk menyatukan masyarakat yang rencam di bawah payung negara yang satu iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya hari ini.
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketiga diadakan secara virtual susulan pandemik Covid-19 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan.
Mengulas lanjut, kekuatan dalam kepelbagaian telah terbukti diterima umum di Sabah baru-baru ini dan ia merupakan tawaran utama kepada rakyat di negara ini.
"Dalam situasi semasa, rakyat tertanya-tanya hala tuju negara dan untung nasib mereka, sebagai wadah siasah anak watan, kita juga harus bertanya, apa nasib anak bangsa untuk 10 tahun akan datang? Berjayakah kita menjadi individu, keluarga dan masyarakat yang mandiri tanpa terus bergantung harap pada orang lain?
"Selain itu kita juga bertanya, dapatkah kita memimpin industri berteknologi tinggi yang berdaya saing di peringkat global? Apakah dapat kita realisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030?” soalnya.
Menurutnya, belia hari ini dikepung oleh pelbagai cabaran antaranya pengangguran dan kerja tidak sepadan, kurang jati diri dan tiada pembedayaan serta hala tuju jelas yang akhirnya menyumbang kepada golongan belia resah.