[VIDEO] Harimau kumbang baham ternakan

Iklan
Keadaan lembu dipercayai dibaham harimau kumbang.

KUALA PILAH - Seorang penternak lembu dari Kampung Tengah di sini bimbang apabila dua ekor lembunya mati dipercayai dibaham harimau kumbang dalam dua kejadian berasingan baru-baru ini.

Penternak, Baharin Mohamad, 52, berkata, pada awalnya dia menyangka kematian lembunya itu disebabkan perbuatan khianat, namun berlaku sebaliknya selepas meneliti keadaan bangkai lembu tersebut.

Iklan
Iklan

"Terdapat kesan gigitan pada tengkuk lembu selain organ dalaman haiwan berkenaan turut hilang.

"Seekor lembu dibaham harimau pada akhir Oktober lalu manakala seekor lagi pada awal November," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Baharin menunjukan lembunya yang mati dipercayai akibat dibaham harimau kumbang.

Iklan

Baharin berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada memasang perangkap bermula 14 November lalu namun sehingga hari ini kosong.

"Hanya pada hari pertama umpan seekor anak kambing milik penduduk diletakkan di dalam perangkap," katanya.

Iklan

Jelasnya, dia menternak 75 ekor lembu namun tidak membelanya di dalam kandang sebaliknya dilepas bebas di dalam kebun berhampiran.

"Disebabkan lembu banyak, saya syak mungkin harimau berkenaan sudah membunuh sebelum ini dan hanya dua ekor yang diketahui mati.

"Selain saya, penternak lain dari kampung berhampiran seperti Kampung Galau, Kampung Ulu Pasir dan Kampung Sikai turut diganggu harimau terbabit yang masuk ke kawasan kampung dan membunuh ternakan penduduk.

Perangkap yang dipasang Perhilitan.

"Saya bimbang harimau ini akan mengganas sehingga mengancam nyawa penduduk. Saya harap harimau berkenaan segera ditangkap bagi mengelakkan ketakutan kepada orang ramai," katanya.

Terdahulu, dia pernah menghendap bangkai lembu yang ditinggal pada malam hari bagi memastikan harimau berkenaan datang semula memakan bangkai namun hampa kerana bangkai dimakan sekumpulan babi hutan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah memasang perangkap malahan pemantauan berterusan tetap dilakukan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.