Malaysia sambut baik keputusan India kurangkan duti import

Iklan
Hantaran Hishammuddin di Facebook.

SHAH ALAM - Malaysia menyambut baik keputusan kerajaan India kelmarin untuk mengurangkan duti import minyak sawit mentah.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu hantaran di Facebook hari ini turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar yang bersetuju mengurangkan duti import dari 37.5 peratus kepada 27.5 peratus.

Iklan
Iklan

"Keputusan ini dijangka menambah jumlah eksport minyak sawit ke India sekali gus berupaya meningkatkan harga minyak sawit mentah di negara kita.

"Wisma Putra akan terus usaha yang terbaik demi kepentingan lebih 500,000 pekebun kecil sawit, ahli keluarga serta komuniti setempat,” katanya dalam hantaran itu.

Iklan

Dalam hantaran sebelumnya, Hishammuddin turut menzahirkan kegembiraan apabila ada rakan di Facebook memaklumkan harga buah tandan segar (BTS) dan minyak sawit mentah (MSM) berada pada paras tinggi.

"Ini akan memanfaatkan lebih 500,000 pekebun kecil sawit, keluarga mereka serta komuniti tempatan khususnya di era pandemik yang serba mencabar ini,” katanya.

Iklan

Menurutnya, Pengerusi Malaysian Palm Oil Berhad (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyatakan antara faktor peningkatan berkenaan ialah permintaan tinggi daripada pembeli termasuk China dan India.

"Ini selari dengan hasil pertemuan saya dengan Menteri Luar China, Wang Yi pada awal Oktober yang membawa kepada persetujuan China untuk beli 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia sehingga tahun 2023.

"Ini juga sejajar dengan kenyataan saya sebelum ini bahawa Wisma Putra akan manfaatkan hubungan dengan India yang kembali pulih untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke sana,” katanya.

Tambahnya, beliau juga telah menyuarakan kepada Perwakilan Kesatuan Eropah supaya menghentikan diskriminasi minyak sawit negara seterusnya mengiktiraf Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) minggu lalu.

"Insya-ALLAH, saya akan pastikan Wisma Putra terus bantu Kementerian berkaitan demi memperkukuh industri sawit negara,” katanya.