JOHOR BAHRU - Perbahasan Belanjawan Johor 2021 minggu depan perlu dilakukan dengan penuh hikmah, tanggungjawab dan bijaksana.
Dewan Muda Johor (DMJ) dalam satu kenyataan hari ini berharap semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor sepakat untuk meluluskan belanjawan negeri itu demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Johor bentang belanjawan defisit RM248.14 juta
Pembangkang belum putuskan sokong Belanjawan Johor 2021
"Ini bagi memastikan semua agenda pelaksanaan di bawah belanjawan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. DMJ berpendapat ini satu belanjawan yang menyeluruh dengan capaian maksima kepada rakyat Johor.
"Benarlah akujanji yang dilakukan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad sebelum ini bahawa tiada siapa yang akan tercicir dalam belanjawan Johor kali ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Belanjawan Johor 2021 yang dibentangkan kelmarin akan dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu depan sebelum diluluskan atau ditolak dalam proses pengundian pada 6 Disember ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, peruntukan RM53.7 juta di bawah Agenda Orang Muda Johor dalam belanjawan tersebut dapat meningkatkan lagi keupayaan belia negeri ini berhadapan keadaan semasa.
Beliau berkata, bantuan tersebut diberikan secara terperinci kepada pelbagai peringkat usia bermula dari sekolah hingga universiti.
Pendapat sama turut disuarakan Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah kerana bantuan itu turut diberikan kepada kesukarelawan dan kepimpinan, ekonomi belia serta sukan serta untuk gaya hidup sihat.
"Secara tidak langsung ini menjadi bukti kumpulan orang muda di Johor tidak dipinggirkan," ujarnya yang berharap inisiatif berkenaan dapat dimanfaatkan semua pihak.
Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz pula berkata, belanjawan tersebut memperlihatkan usaha kerajaan menyediakan pelan bagi membantu seramai mungkin rakyat negeri ini.
"Umum tahu ramai masyarakat terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini namun belanjawan dibentangkan kerajaan negeri menunjukkan keprihatinan mereka terhadap individu yang terkesan.
"Selaku sebahagian kumpulan yang membawa suara belia di Johor, kami menghargai usaha kerajaan negeri dalam merangka inisiatif yang turut memfokuskan kebajikan belia," katanya.