KUALA NERANG - Seorang guru fardu ain memohon sumbangan 140 rehal untuk membantu memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran kepada peserta berusia sembilan hingga 15 tahun di sekitar Kuala Nerang dan Pedu dekat sini.
Ahmad Zuhdi Mohamad, 27, yang baharu pulang dari Yaman dan belajar syariah dengan kaedah pengajian talaqi kitab berkata, beliau memerlukan kira-kira 200 rehal namun setakat ini hanya 60 rehal yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai.
Menurutnya, kelas pengajian yang bermula awal bulan ini diadakan pada Jumaat dan Sabtu di Surau Kampung Pinang, Pedu dan Surau Kampung Lubuk Labi, Padang Sanai, Surau Kampung Masjid Baru, Naka (Ahad), Surau Kampung Tanjung Piring, Nami (Selasa), Surau Kampung Ulu, Padang Sanai, (Rabu, Khamis) serta Dewan Paksi Kuala Nerang, Kampung barokhas (Petang Jumaat, Sabtu).
"Saya baru pulang dari Yaman Ogos lalu sebelum mengambil keputusan untuk membuka kelas pengajian fardu ain ini. Maklum balas yang diberikan oleh penduduk juga baik kerana mereka mahu ada kelas seperti ini bagi menyemarakkan surau di kampung mereka.
"Saya dan seorang lagi tenaga pengajar, Ustazah Nor Nabilah Mohamad, 25, membuka kelas ini untuk menyemarakkan dan surau di sekitar Kuala Nerang dan Pedu.
"Kami bercadang untuk membuka lima atau enam lagi pusat pengajian di surau yang difikirkan sesuai sekiranya mendapat kerjasama dari penduduk kampung tersebut," katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Zuhdi berkata, waris peserta dan ahli jawatankuasa surau mengalu-alukan usahanya dan beliau bercadang menambah seorang lagi tenaga mengajar jika cadangan membuka lebih banyak pusat pengajian diterima oleh pihak berkaitan.
"Setakat ini peserta yang berdaftar sebanyak 120 orang dan saya meletakkan sasaran sehingga 200 orang untuk mengikuti pengajian ini yang menggunakan kitab Risalah Jamiah karangan Habib Ahmad Zein Alhabsyi. Kitab ini dibeli semasa pendaftaran dengan harga RM20.
"Yuran bulanan atau wang saguhati pula dikenakan di antara RM10 sehingga RM15 sahaja bagi setiap peserta. Banyak kelas diadakan pada sebelah petang bermula 3 sehingga 5 petang," katanya.
Bagi mana-mana pihak yang mahu memberikan sumbangan boleh menghubungi Ahmad Zuhdi di talian 019-408 1107.