BROOKLYN - AMERIKA SYARIKAT. Seorang saksi dalam perbicaraan Joaquin"El Chapo” Guzman memberitahu kerajaan Amerika Syarikat (AS) bahawa raja dadah Mexico itu memberi dadah sebelum merogol gadis bawah umur semuda 13 tahun, menurut dokumen mahkamah yang dikeluarkan semalam.
Sekutu lamanya, Alex Cifuentes memberitahu pihak berkuasa yang seorang wanita akan menghantar gambar gadis sunti kepada Guzman untuk dipilih, dengan upah sebanyak AS$5,000 (RM20,482) untuk seorang gadis.
Cifuentes sendiri pernah menggunakan perkhidmatan itu, mengadakan hubungan seks dengan gadis sunti semuda 15 tahun, kata kerajaan dalam dokumen itu, menambah yang beliau"melihat defendan melakukan (hubungan seks) beberapa kali, dengan gadis semuda 13 tahun”.
Bekas kartel dadah Sinaloa berusia 61 tahun itu didakwa meracun gadis berkenaan dengan"dadah kuat” dengan bantuan Cifuentes sebelum merogol mereka.
Tetapi Cifuentes, yang tinggal bersama Guzman pada 2007 dan 2008 tidak menyebut kejadian tersebut ketika memberi keterangan selama empat hari dalam perbicaraan terhadap raja kartel itu yang berakhir pada Khamis selepas tiga bulan berjalan.
Esok, juri akan mula berbincang sama ada Guzman bersalah atas pertuduhan menyeludup beratus tan dadah masuk ke AS.
Beliau boleh dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dokumen itu didedahkan susulan tuntutan media AS, yang sepanjang perbicaraan menentang cubaan menyekat laporan kes itu.
Cifuentes, 50, ditahan di Mexico pada 2013 sebelum diekstradisi dari Colombia ke AS.
Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara, dan bekerjasama dengan kerajaan AS untuk mengurangkan tempoh penjara. – AFP