Srikandi Bersatu Sabah fokus hadapi PRU15

Iklan
Redonah ketika berucap pada Persidangan Perhimpunan Agung Srikandi Tahunan 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyeru jenteranya supaya fokus memperbaiki gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, gerak kerja dari semua aspek harus diperbaiki bagi membawa perjuangan Bersatu kepada rakyat.

Iklan
Iklan

"Bersedialah untuk PRU15 kerana ini fokus kita, gerak kerja kita dalam Srikandi mampu melahirkan idea dan mari kita terus cakna dengan idea untuk menjadikan Bersatu lebih kuat, diterima rakyat serta menarik lebih ramai anak muda untuk bersama kita.

"Srikandi juga ada kekuatan yang tidak ada kurangnya, jadi marilah kita semua terus bersatu dan kuatkan jentera kita, utuhkan perjuangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan 'Abah' kita, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Presiden Bersatu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perhimpunan Agung Srikandi Tahunan 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Redonah yang juga Exco Srikandi Bersatu Malaysia berkata, mesej yang disampaikan oleh rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini cukup jelas dan Srikandi Bersatu perlu terus peka.

Iklan

"Mesej rakyat amat jelas dalam PRN baru-baru ini, kita membentuk kerajaan kerana rakyat yakin dengan kepimpinan 'Abah' kita yang mendengar denyut nadi rakyat, kepimpinan prihatin dan kini di Sabah, kita dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) wajar berusaha untuk menunaikan amanat yang diberikan oleh rakyat ini dengan sepenuh jiwa raga.

"Saya juga ingin mengajak semua Srikandi untuk terus menyemai nilai positif sekali gus menuju ke puncak kejayaan dan menepis nilai negatif yang boleh membawa kepada perpecahan sesama kita," katanya.

Redonah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kota Marudu berharap dalam PRU akan datang, lebih ramai Srikandi diangkat sebagai calon wakil rakyat.

"Ramai juga Srikandi mempunyai kredibiliti dan jika kita jelas layak, wajar diberi peluang dan inilah harapan saya dan semua dari kalangan Srikandi.

"Namun, kita perlu terus bersatu bersama jentera dan saya dengan ini meminta agar semua ketua bahagian Srikandi, berganding bahu dengan anak-anak buah anda untuk kuatkan jentera kita, manfaatkan teknologi dalam berhubung masa kini walaupun kita berdepan dengan cabaran normal baharu kerana pandemik koronavirus (Covidd-19)," katanya.

Terdahulu, persidangan kali ini diadakan secara maya semalam melibatkan pemimpin-pemimpin Bersatu di seluruh negara dengan dipimpin Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu.