ALOR SETAR - Pencetus Kluster Sivagangga, Nezar Mohamed Shahbur Batcha diberi tempoh kira-kira sebulan bagi memfailkan pembelaan terhadap kes saman RM1.5 juta dikemukakan Persatuan Pengguna Kedah (Cake) ke atasnya.
Peguam mewakili Cake, Mohammad Zunun Baihakky berkata, pemilik restoran nasi kandar itu sepatutnya memfailkan pembelaan terhadap kes saman dikemukakan selewat-lewatnya hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun, pemilik restoran itu gagal berbuat sedemikian pada tarikh ditetapkan mahkamah dan baru melantik peguam untuk mewakili dirinya.
"Difahamkan, Nezar keluar daripada penjara pada 24 November lepas dan baru melantik peguam untuk memfailkan pembelaan atas tuntutan dikemukakan terhadap dirinya.
"Sehubungan itu, mahkamah memberi peluang kepada pihak Nezar untuk memfailkan pembelaan sehingga 21 Disember depan," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Makhamah Alor Setar, di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan membuat permohonan penghakiman ingkar terhadap pemilik restoran nasi kandar dalam kes saman itu sekiranya Nezar masih gagal memfailkan pembelaan.
Katanya, pihaknya juga baru menerima surat daripada peguam mewakili Nezar untuk memfailkan pembelaan pada 26 Oktober lepas.
Tetuan Zunun & Co mewakili Cake untuk pengurusan kes saman pencetus Kluster Sivagangga.
Sementara itu, Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Mahkamah Tinggi Alor Setar menetapkan Nezar untuk memfailkan pembelaan pada tarikh akhir hari ini.
Katanya, bagaimanapun pemilik restoran nasi kandar terbabit gagal untuk memfailkan pembelaan seperti diperintahkan dan kes berkenaan akan dibawa kepada peringkat seterusnya.
Mohammad Yusrizal berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk sekitar bahawa pemilik restoran nasi kandar di Pekan Napoh itu telah dibebaskan kira-kira lima hari lepas.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Mahkamah menetapkan tarikh 29 November untuk sebutan semula kes saman dikemukakan Cake terhadap Nezar selepas perbicaraan ditangguhkan kerana pemilik restoran itu menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Nezar, 57, pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh dikenakan denda RM12,000 dan lima bulan penjara kerana melanggar perintah kuarantin di rumah pada 13 Ogos lalu.
Pada 19 Ogos, Cake mengemukakan tuntutan saman lebih RM1 juta terhadap Nezar mewakili pemilik perniagaan, pekerja dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa akibat terjejas dengan perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim berkenaan akibat pelanggaran Nezar terhadap perintah kuarantin selepas pulang dari India.
Pihak lain yang menuntut termasuk Jawatankuasa Peniaga RTC Pekan Napoh, Kelab Usahawan Belia Napoh, Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Napoh, serta dua persatuan penduduk di Napoh.
Akibat pelanggaran SOP itu, empat mukim di Kubang Pasu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dengan restoran berkenaan ditutup.