Daki bukit untuk jawab peperiksaan

Iklan
Nurlieda Khaleeda ditemai ayahnya mengikuti kelas dalam talian di khemah dibina di Bukit Petai Tujuh di Tanah Merah hari ini.

TANAH MERAH - Seorang penuntut Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terpaksa menjalani peperiksaan di atas bukit bertemankan nyamuk dan pacat di belakang rumahnya di Kampung Bukit Petai Tujuh, disebabkan gangguan internet dan komunikasi.

Penuntut tahun dua jurusan Teknologi Makmal Perubatan itu juga perlu mendaki lebih 20 meter untuk sampai di khemah yang dibina ayahnya, Mohd Azmi Ahmad, 48, di bukit tersebut untuk menjawab peperiksaan selain mengulang kaji.

Iklan
Iklan

Selain perlu memanjat dengan keadaan tanah yang becak, Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi, 20, juga terpaksa menjawab peperiksaan dalam suasana tidak selesa kerana gangguan nyamuk dan kadang-kala terdapat ular yang menyusur keluar berdekatan ‘dewan’ peperiksaannya.

Nurlieda Khaleeda

Lebih memeritkan apabila ruang untuk dia mengikuti kelas dalam talian, mengulang kaji dan menjawab soalan peperiksaan itu turut terkena tempias setiap kali hujan selain berdepan gangguan capaian internet yang kurang memuaskan.

Iklan

Namun Nurlieda menyifatkan situasi yang perlu dilaluinya itu adalah lebih baik daripada dia belajar di rumah tanpa kemudahan internet demi masa depannya.

Katanya, selain kelengkapan seperti komputer riba, modem WiFi, nota dan tripod yang perlu di bawa untuk menjawab peperiksaan, dia juga tidak boleh terlupa untuk membawa ubat nyamuk serta kipas kerana kawasan tersebut banyak nyamuk.

Iklan
Nurlieda Khaleeda bersama ayahnya memanjat bukit sepanjang 20 meter untuk sampai di khemah yang terletak dibelakang rumahnya.

"Ayah kasihankan saya, kerana sebelum ini saya perlu ke bandar Tanah Merah Baru yang terletak lebih tiga kilometer dari rumah untuk belajar. Jadi ayah naik ke bukit ini dua hari sebelum peperiksaan saya bermula untuk cari kawasan yang ada internet.

"Ayah tidak mahu saya gagal dalam peperiksaan, jadi dia berikhtiar masuk hutan untuk bina khemah ini dan sambungkan bekalan elektrik dari rumah untuk kegunaan saya di sini.

Dalam pada itu, Nurlieda berkata, setiap kali menjawab peperiksaan dia juga bimbang jika capaian internet di kawasan itu terputus kerana perlu menjawab semula soalan sekiranya berlaku gangguan dan tiada masa tambahan diberikan.

Nurlieda Khaleeda mengikuti kelas dalam talian, mengulang kaji pelajaran dan menjawab soalan peperiksaan di dalam khemah yang dibina bapanya.

"Peperiksaan saya bermula 23 November lalu dan setakat ini saya sudah selesai menjawab tiga kertas soalan dan masih berbaki lagi dua lagi kertas peperiksaan yang perlu dijawab,” katanya.

Sementara itu bapanya, Mohd Azmi berkata, masalah yang dihadapi itu bukan hanya dilalui oleh anaknya sahaja tetapi perkara itu juga turut membelenggu anak-anak penduduk di lima kampung lain iaitu Kampung Mengat, Degong, Che Nakaf, Jerangau Dalam dan Jerangau Luar.

"Selain saya, kadang-kala along (Nurlieda Khaleeda) turut ditemani adiknya, Muhammad Addin Aiman, 16, untuk belajar. Saya tidak benarkan along bersendirian kerana kawasan itu juga tidak selamat,” katanya.

Penduduk turut membina pondok di atas pokok setinggi lebih lima meter untuk mendapatkan capian internet,

Mohd Azmi berkata, disebabkan masalah dihadapi itu ada segelintir penduduk yang membina pondok di atas pokok dengan ketinggian lebih lima meter di kawasan sama untuk menggunakan internet sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

Justeru, Mohd Azmi mengharapkan masalah yang dihadapi penduduk mendapat perhatian pihak berkaitan dan dapat diselesaikan dengan segera.

Selain Nurlieda, seorang lagi anaknya, Muhammad Amien Khalielee, 18, yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara Terengganu turut belajar di khemah sama untuk menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

Muhammad Amien Khalielee turut belajar di atas pondok yang dibuat oleh penduduk kampung.