RANTAU PANJANG - Seorang nenek sanggup meredah banjir paras dada sejauh 500 meter bagi membawa cucunya yang berusia setahun ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di sini hari ini.
Bukan itu sahaja, Norizah Mohd Nor, 44, terpaksa berjalan kaki sambil mendukung cucunya, Muhammad Aqif Amshar Zuhaimi, sejauh 500 meter lagi untuk sampai ke PPS selepas rumahnya di Kampung Gual Tok Deh ditenggelami banjir.
Selain Norizah, turut berpindah bersamanya ibu kanak-kanak berkenaan Nurul Atiqah Ab Rashid, 20, serta sebuah lagi keluarga.
Norizah berkata, tindakan awal itu diambil selepas rumahnya dimasuki limpahan air Sungai Golok sejak dua hari lalu.
"Melihat situasi cuaca semasa yang tidak menentu, saya mengambil keputusan untuk berpindah lebih awal.
"Lagipun air di dalam rumah sudah mencecah paras pinggang," katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Gual Tok Deh di sini hari ini.
Menurutnya, pendekatan itu bagi mengelakkan dia dan keluarga berdepan masalah lebih besar sekiranya paras air terus menunjukkan peningkatan.
Katanya, lebih membimbangkan lagi trend air Sungai Golok yang dilihat semakin naik.
"Alhamdulillah, kami semua tiba dengan selamat di PPS pada jam 8 pagi," katanya.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my setakat jam 4 petang tadi menunjukkan bacaan air Sungai Golok berapa pada 9.4 meter sekaligus sudah melepasi paras bahaya.