Cukai rokok elektronik terlalu rendah, rugikan negara

Iklan

SHAH ALAM - Kadar cukai dikenakan ke atas industri rokok elektronik (vape) dalam Belanjawan 2021 perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana ia terlalu rendah dan akan merugikan negara untuk jangka masa panjang.

Perkara itu dinyatakan oleh MQ Consultant, sebuah syarikat penyelidikan dan teknologi tempatan yang terlibat dalam melakukan kajian mendalam terhadap industri rokok elektronik di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Nilai cukai yang diusulkan untuk industri rokok elektronik terlalu rendah daripada apa yang dikenakan ke atas industri tembakau sedangkan potensi kerajaan untuk meraih pendapatan adalah besar.

"Ini kerana ramai perokok tembakau dunia termasuk di Malaysia semakin beralih kepada rokok elektronik.

Iklan

"Pengenaan cukai merupakan langkah pertama yang penting dalam mengawal selia pertumbuhan industri rokok elektronik. Satu kajian yang teliti ke atas struktur cukai perlu dilakukan. Kita tidak boleh menggunakan satu ukuran atau struktur cukai sesuai untuk semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Belanjawan 2021 yang diluluskan peringkat dasar Khamis lalu antara lain mengenakan duti eksais sebanyak 40 sen untuk setiap mililiter (ml) cecair rokok elektronik akan mula dikuatkuasakan mulai Januari 2021.

Iklan

Mengulas lanjut, MQ Consultant berkata, Malaysia boleh dikatakan agak lambat dalam mengenakan cukai ke atas rokok elektronik.

Menurutnya, di peringkat Asia seperti Indonesia, Filipina dan Korea telah pun memperkenalkan cukai ke atas rokok elektronik seawal 2011 dan ketiga-tiga negara itu telah mengenakan tarif cukai yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.

"Pengenaan cukai yang rendah ini merupakan satu kerugian kepada Malaysia kerana ia sepatutnya menaikkannya lagi bagi semua cecair rokok elektronik. Malah, cukai ini boleh dijadikan sebagai sebahagian langkah mengawal tabiat merokok.

"Walaupun industri rokok elektronik di Malaysia diunjurkan bernilai berbilion ringgit, ia masih

dianggap sebagai ‘black economy’ (ekonomi gelap) yang berpotensi mengakibatkan kerugian yang besar kepada negara," katanya.

Menurut MQ Consultant, bancian terkini menunjukkan terdapat tiga juta pengguna rokok elektronik di Malaysia pada masa ini dan kerajaan perlu memanfaatkannya.

"Dengan mengadakan peraturan percukaian, satu situasi yang menguntungkan semua pihak boleh diwujudkan. Ia bukan hanya meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara tetapi juga membantu usaha kerajaan dalam menambah baik kehidupan sosial dan kesihatan rakyat Malaysia dalam tempoh jangka panjang," katanya.