KUANTAN - Tidak timbul isu parti mana yang lebih dominan sekiranya gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan UMNO dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, kata Setiausaha Bersatu Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, dalam situasi kini, semua pihak harus berlapang dada dan bersama-sama memikirkan kepentingan serta kebajikan rakyat.
"Politik hari ini harus dilihat dari sudut semasa, jangan terikut-ikut kerangka politik lama dahulu yang akan membuatkan kita sukar untuk bergerak kerana apa yang penting kini rakyat didahulukan.
"Kita perlu bersifat terbuka dan isu siapa tumpang (menumpang) dan dominan tidak seharusnya timbul dalam membentuk gabungan parti Melayu ini... gabungan ini harus diberi peluang untuk berkhidmat,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Indera Mahkota Prihatin di sini hari ini.
Semalam Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, adalah baik jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam kabilah-kabilah kecil sekali gus dapat mewujudkan kestabilan politik di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu perkukuh perjuangan Islam: Muhyiddin
Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan orang bukan Melayu dan Islam menjadi ahli bersekutu parti itu menunjukkan keterbukaan parti berkenaan.
"Kita mengalu-alukan mereka menyertai Bersatu kerana kita masih menghormati dan mengiktiraf agama lain selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, manakala penganut agama lain bebas mengamalkan anutan masing-masing," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, beliau menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada 50 penerima dari kawasan Parlimen itu.
Selain itu, beliau berkata, sebuah rumah penjagaan orang tua juga akan dibaik pulih dan dinaik taraf pada tahun depan membabitkan peruntukan sebanyak RM200,000. - Bernama