Guru agama itu merupakan antara 11 yang ditahan termasuk seorang wanita dalam operasi berkenaan yang bermula Selasa hingga Rabu lalu bermula jam 9 malam hingga awal pagi.
Lelaki berusia 36 tahun itu sudah empat tahun terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang tersebut dan pernah diberi peluang untuk berubah namun tetap mengulangi perbuatan terbabit.
Ketua Operasi AADK Tanah Merah, Basri Manshor berkata, pihaknya menjalankan ops terbabit pada Selasa dan Rabu lalu, di sekitar tiga kawasan termasuk Kampung Paloh, Batang Merbau dan Panglima Bayu.
"Kita tahan kesemua mereka untuk tindakan susulan. Tujuh ditahan mengikut Seksyen 3(1)Akta Penagihan Dadah 1983 manakala empat lagi diserahkan kepada pihak polis kerana memiliki ketum,” katanya.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan didapati positif methamphetamine hasil dari ujian saringan urin yang dilakukan terhadap mereka.
Sementara itu, menurut Basri, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dengan kerjasama semua pihak dari semasa ke semasa dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah.
"Ini dalam usaha memastikan kegiatan penagihan dapat dikekang dengan apa jua cara sekalipun.
"Maklumat awam amat diharapkan dan kita turut mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa termasuk polis bagi menangani dadah ini,” katanya.