SEBERANG PERAI - Dua pekerja warga Bangladesh cedera akibat dihempap dinding konkrit yang runtuh di dalam sebuah kedai yang sedang dalam pengubahsuaian di Bandar Cassia, Batu Kawan di sini petang tadi.
Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Azmi Tahar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan lima minit kemudian.
Iklan
Iklan
Menurutnya, salah seorang mangsa turut dilaporkan cedera parah apabila pergelangan tangan kanannya hancur dipercayai dihempap batu bata.
"Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa berusia 40-an itu sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian sebuah kedai serbaneka di sini.
"Ketika kita sampai di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa terperangkap di bawah runtuhan tersebut. Pasukan bomba segera melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa dengan mengangkat sisa runtuhan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azmi berkata, seorang daripada mangsa cedera pada kaki, manakala seorang lagi cedera parah di hujung tangan kanan dan cedera pada muka.
Difahamkan, mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya di sini untuk rawatan lanjut, manakala punca kejadian masih disiasat.