SUNGAI PETANI - Banjir kilat di beberapa buah kampung di daerah Kuala Muda semalam memaksa penduduk menyelamatkan diri dan keluarga dengan berpindah ke tempat lebih selamat.
Mangsa Che Tahir Abu Bakar, 55, dari Kampung Raja Wat Siam berkata, dia dan empat ahli keluarga lain hanya sempat berteduh di atas papan dan besi yang disusun tinggi untuk menyelamatkan diri.
Menurutnya, air naik terlalu pantas menyebabkan mereka tidak sempat keluar dari rumah dan hanya mencari tempat untuk berteduh.
"Saya bersama isteri, menantu dan dua anaknya berusia empat dan setahun bermalam di sini saja kerana tidak menyangka hujan lebat mulai jam 4 sampai 5 petang menyebabkan air tiba-tiba naik lebih 1.5 meter," katanya kepada Sinar Harian ketika tinjauan ke lokasi banjir hari ini.
Sementara itu, Raziah Saad, 67, berkata, dia terkejut melihat rumahnya dinaiki air kira-kira jam 5 petang semalam.
"Ketika sedang berkemas air naik dengan cepat dan kami tidak sempat menyelamatkan peralatan rumah. Semua basah kena lumpur," katanya.
Peniaga, Shahri Abd Rahman, 48, berkata, banjir kilat secara tiba-tiba mengejutkan ahli keluarga kerana tidak menyangka kejadian pada tahun 2017 berulang.
"Kami tidak sempat mengangkat barang kerana tidak sangka air naik dengan cepat. Barang elektrik termasuk peti ais dan mesin juga rosak akibat banjir," katanya.
Sementara itu, jirannya, Mohd Khir Elias, 39, berkata, peralatan dan perkakasan rumah termasuk pakaian dalam almari diselaputi lumpur.
"Sejak pagi tadi kami mencuci rumah dan tengok barang yang rosak dan kena pastikan cuaca elok sebelum menjemur semua barang yang ditenggelami banjir. Kerja-kerja mencuci juga ambil masa dua, tiga hari atau seminggu," katanya.
Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah; Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee serta beberapa agensi berkaitan turut memantau lokasi banjir di beberapa buah kampung di daerah ini.
Tiga buah pusat pemindahan termasuk di Masjid Al-Abrar Taman Peruda, Surau Kampung Haji Wahab dan Dewan Masjid Al-Huda Kampung Jerung yang dibuka antara jam 8 malam hingga 2 pagi tadi selepas air surut dan semua 144 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.