KAWALAN keselamatan yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sepanjang 149.7 kilometer sempadan Perak-Thailand berada pada tahap tertinggi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan sempadan negara di kawasan Daerah Hulu Perak itu susulan insiden serangan penyeludup terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perlis dan Kedah baru-baru ini.
"Setiap anggota sedia maklum terhadap insiden itu dan kini mereka dalam keadaan siap siaga dengan semua petugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dilengkapkan full gear.
"Meskipun pintu masuk kedua-dua negara ditutup sejak Mac lalu berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19), penugasan keselamatan tetap diteruskan melibatkan agensi lain seperti Agensi Kawalan Sempadan (Aksem), Jabatan Kastam dan Imigresen negeri bagi mengekang penyeludupan barang dan pembolosan pendatang asing tanpa izin,” katanya di sini semalam.
Beliau bagaimanapun berkata, sempadan Perak-Thailand bukan lokasi pilihan kumpulan sindiket penyeludupan berikutan faktor muka bumi yang berbukit dan dilitupi hutan tebal.
"Jumlah kes penyeludupan dilaporkan dalam kuantiti kecil dan terkawal, manakala pelakunya adalah bersifat individu atau kegunaan keluarga dan bukan sindiket.
"Begitu juga dengan aktiviti pemburuan haram dan pencari gaharu, kes ini kurang dilaporkan.
"Antara barang yang diseludup adalah barang keperluan harian bersubsidi seperti minyak masak, petrol atau diesel serta dadah dan daun ketum,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, polis akan terus pantau dan tindakan tegas akan diambil sekiranya kegiatan itu dikesan.
Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah penambahbaikan sistem keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Berapit, Pengkalan Hulu di sini.