SHAH ALAM - Tindakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman memantau pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengamalkan gaya hidup mewah merupakan suatu langkah yang baik.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, langkah tersebut boleh meningkatkan disiplin dan integriti pegawai dan anggota polis yang mungkin merosot akibat tahap penguatkuasaan peraturan tidak mengikut standard ditetapkan PDRM.
Menurutnya, pengalaman beliau berkhidmat bersama PDRM sebelum ini menunjukkan peraturan sedia ada sebenarnya mencukupi bagi mengelakkan sebarang salah laku anggota pasukan keselamatan tersebut.
"Jadi mereka hanya perlu perketatkan kembali disiplin pasukan polis kerana daripada dulu kita sudah ada peraturannya.
"Dulu terdapat arahan-arahan yang mewajibkan pegawai polis yang mahu memiliki harta untuk melaporkan kepada ketua mereka. Disebabkan itu, mereka tidak boleh buat sewenang-wenangnya.
"Nak beli kenderaan pun kena laporkan kepada ketua dan kena isi borang. Itu semua disiplin. Ini termasuk pembelian kereta untuk anak mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Sementara itu, Musa berkata, terdapat kemungkinan peraturan yang telah ditetapkan PDRM sebelum ini tidak dipatuhi oleh anggota mereka.
Justeru, beliau berkata, pemantauan terkini daripada JIPS itu sangat penting dalam usaha memperketatkan kembali disiplin anggota polis yang didakwa sudah terhakis sejak belakangan ini.
Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi trend anggota dan pegawai PDRM yang dikesan hidup secara mewah ‘ala orang kaya’ secara tidak munasabah.
Katanya, tindakan itu adalah untuk mengekang salah laku dalam kalangan anggota dan pegawainya demi menjaga integriti PDRM.
ARTIKEL BERKAITAN: Segelintir pegawai polis dikesan amal cara hidup 'ala orang kaya'