Tempoh genting PN belum berakhir

Iklan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kanan) bersama Menteri Kewangan, Tengku Zafrul dan menteri-menteri Kabinet selepas ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis lalu.

SHAH ALAM - Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa yang bermula hari ini antara perkara dijangka menjadi tumpuan di Dewan Rakyat.

Ia susulan Belanjawan 2021 peringkat dasar telah diluluskan di Parlimen pada Khamis lalu selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen tanpa undian belah bahagi.

Iklan
Iklan

Dalam sesi tersebut, pembangkang dijangka memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk meneliti dan menyemak belanjawan itu memandangkan ia lebih spesifik melibatkan butiran peruntukan dan mengurus perbelanjaan kerajaan.

Perbahasan yang bermula hari ini sehingga 15 Disember 2020 akan dimulai oleh Kementerian Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum disusuli kementerian lain.

Iklan

Mengikut proses peringkat jawatankuasa, sebaik selesai perbahasan oleh setiap kementerian, undian akan dilakukan bagi mendapatkan sokongan.

Dijangka Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dipimpin Datuk Saifuddin Abdullah berdepan isu panas membabitkan jumlah peruntukan besar kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) atau kini dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Iklan

Jelas rata-rata dalam perbahasan peringkat dasar sebelum ini telah menyaksikan isu berkenaan antara yang paling banyak dibangkitkan khususnya dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.

Tugas getir pastinya menanti Saifuddin yang dijangka berdepan kritikan peruntukan RM85.5 juta untuk jabatan itu yang disifatkan terlalu besar.

Sentimen itu terus dimainkan oleh pembangkang sehingga kini berikutan jumlah yang banyak itu diberikan kepada J-Kom walaupun Malaysia sedang berdepan krisis ekonomi dan pandemik Covid-19.

Kebanyakan rakyat di peringkat akar umbi juga dilihat tidak bersetuju dengan jumlah dana yang diberikan kepada J-Kom.Justeru, tempoh perbahasan peringkat jawatankuasa perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua kementerian bagi meyakinkan semua ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang untuk menyokong Belanjawan 2021.

Banyak proses

Meskipun secara dasarnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh menarik nafas lega selepas berakhirnya hari penuh getir pada Khamis lalu, namun ia belum menjamin belanjawan sulung di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan diluluskan sepenuhnya kerana masih banyak proses yang perlu dilalui.

Peringatan itu turut diberikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan sebaik selesai pengundian Belanjawan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson memperincikan sebab pembangkang menyokong belanjawan tersebut tanpa meminta undi belah bahagi.

Katanya, ia bagi membolehkan pengumuman yang dibuat Tengku Zafrul dapat diteliti secara mendalam.

"Ahli-ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan-peruntukan ini adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil daripada pemotongan mana-mana kementerian lain.

"Apakah jumlah sebenar belanjawan serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi.

"Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bank juga perlu diteliti,” katanya.

Justeru, tumpuan rakyat pastinya terarah pada persidangan Dewan Rakyat pada hari ini bagi melihat bentuk pindaan yang mahu dilakukan blok pembangkang bagi memastikan belanjawan berjumlah RM322.5 bilion itu diluluskan.

Difahamkan, sukar bagi kerajaan meminda sesuatu belanjawan apabila ia telah lulus di peringkat dasar.

Bagaimanapun, dalam realiti politik kini, apa sahaja boleh berlaku.

Jadi sama-sama kita saksikan drama seterusnya di Dewan Rakyat bermula hari ini.