KUALA LUMPUR - Selepas diluluskan di peringkat dasar, ahli Parlimen akan mula membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mengikut jadual giliran kementerian, perbahasan hari ini akan tertumpu kepada kementerian-kementerian di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat sesi perbahasan berkenaan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Disember ini.
RUU Perbekalan 2021 berkenaan diluluskan di peringkat dasar Khamis lalu dengan suara majoriti.
Usaha untuk mendapatkan undi belah bahagi oleh beberapa wakil rakyat pembangkang dan Bebas gagal pada hari berkenaan apabila hanya 13 ahli Parlimen yang bangun menyokong, kurang dua dari jumlah yang diperlukan untuk membolehkan proses itu dijalankan.
Selain itu, menurut Aturan Urusan Mesyuarat, isu mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi membanteras sindiket Macau Scam yang semakin berleluasa dan menyusahkan rakyat antara dijangka dijawab wakil kerajaan dalam sesi soal jawab hari ini.
Perkara itu bakal diajukan, Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai sejauh mana Kementerian Dalam Negeri bercadang untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan jawatankuasa khas itu.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka mengemukakan RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) (Pindaan) 2020 untuk bacaan kali pertama.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember ini. - Bernama