SEGAMAT - Seekor buaya yang dipercayai datang dari kawasan lombong ditemui di pekarangan rumah penduduk Kampung Berata di sini hari ini.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hazim Abd. Razak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.49 pagi mengenai kehadiran buaya itu di salah sebuah rumah di kampung.
Iklan
Iklan
"Tiga jentera dengan kekuatan 10 anggota telah dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan dan sebaik tiba kita dapati buaya berukuran 3.04 meter yang dipercayai sesat itu berada di tepi rumah penduduk.
"Operasi menangkap buaya berjaya dilakukan dengan selamat dan kemudian diserahkan kepada Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 7.40 pagi dan kejadian itu menjadi sejarah dalam pasukan BBP Segamat kerana pertama kali menangkap reptilia terbabit di daerah ini sejak 1956.