Standard industri kimchi: Korea Selatan bantah tuntutan China

Iklan
Kimchi tidak sekadar kubis yang dijeruk tetapi memainkan peranan penting dalam budaya makanan Korea, manakala proses penghasilannya menerima pengiktirafan piawaian global selama hampir dua dekad. - Foto 123RF

SEOUL - Kimchi tidak sekadar kubis yang dijeruk tetapi memainkan peranan penting dalam budaya makanan Korea, manakala proses penghasilannya menerima pengiktirafan piawaian global selama hampir dua dekad, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Kementerian Pertanian Seoul.

Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar membuat kenyataan itu sebagai membantah dakwaan media China, bahawa Beijing memenangi perakuan dari Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) untuk proses pembuatan kimchinya.

Iklan
Iklan

Kementerian itu mengatakan Beijing memenangi sijil ISO untuk pao cai, sejenis sayur acar lain yang menjadi antara juadah di China.

"Tiada kaitan dengan kimchi. Kita perlu faham pao cai berbeza dengan kimchi," kata kementerian itu.

Iklan

China memulakan proses piawaian pao chai pada 2019 dan lima anggota ISO - China, Turki, India, Iran dan Serbia - minggu lalu meluluskannya menurut dokumen ISO, yang turut dilaporkan menyebut dokumen tersebut tidak tertakluk untuk kimchi.

Kementerian itu mengatakan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), secara rasmi mengakui standard industri untuk kimchi pada 2001 yang menyatakan ramuan, pelabelan makanan tambahan dan nama produk berkenaan.

Iklan

Tuntutan China mahu menjadikan standard antarabangsa untuk kimchi mencetuskan reaksi hangat dalam kalangan media media tempatan kerana ramai menganggap kimchi makanan utama Korea Selatan dan sering dikaitkan dengan identiti negara itu.

Seluruh proses pembuatan kimchi yang disebut 'kimjang' iaitu mencuci dan mengasingkan sayur-sayuran, menumisnya dengan bawang putih, lada merah dan ikan masin serta menyimpannya di dalam balang tanah liat - diumumkan sebagai Warisan Kemanusiaan Tidak Ketara UNESCO pada 2013. - Bernama