SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meminta kerajaan untuk memberikan perhatian terhadap empat isu utama pada perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa yang bermula hari ini.
Muda dalam satu kenyataan menerusi laman Twitter rasmi parti itu hari ini memaklumkan, antara isu utama yang dibangkitkan Muda adalah memindahkan peruntukan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) berjumlah RM85.5 juta kepada mahasiswa dan pemberian peruntukan sama rata untuk semua kawasan Parlimen tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.
Menurutnya, Muda turut meminta kerajaan supaya menurunkan yuran institut pendidikan tinggi (IPT) sebanyak 50 peratus dan memindahkan peruntukan Penggerak Komuniti Negara (PeKT) yang bersifat politik kepada penambahan elaun golongan rentan.
"Muda telah menjalankan soal selidik bagi tujuan mengumpulkan pendapat #GengMUDA dan keputusan soal selidik menunjukkan sokongan padu untuk keempat-empat isu di atas.
"Muda akan berusaha untuk membawa isu-isu ini dan menentang peruntukan yang tidak berpihak kepada rakyat,” katanya.
Muda yang baharu diperkenalkan September lalu merupakan parti yang diasaskan oleh 13 orang pengasas bersama termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pada masa sama, Muda berkata, parti tersebut akan menggunakan ruang yang mereka miliki untuk membawa isu kemaslahatan rakyat terutamanya suara golongan belia dan mahasiswa.
"Pendirian Muda adalah kerajaan wajib meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.
Ahli Parlimen mula membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan berkenaan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Disember ini.
Khamis lalu, Belanjawan 2021 yang dibentangkan buat kali kedua oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah diluluskan di peringkat dasar dengan suara majoriti.
Usaha untuk mendapatkan undi belah bahagi oleh beberapa wakil rakyat pembangkang dan Bebas gagal pada hari berkenaan apabila hanya 13 ahli Parlimen yang bangun menyokong, kurang dua daripada jumlah yang diperlukan untuk membolehkan proses itu dijalankan.
Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan selepas undian peringkat dasar itu berkata, pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika ahli Parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.
Katanya, Pakatan Harapan tetap menentang belanjawan yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN) atas sebab beberapa isu utama yang tidak dijawab seperti perbelanjaan 'tidak realistik'.