SIBU - Suspek utama kes ugutan bunuh ke atas seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kuching telah ditahan di Sungai Merah pagi tadi, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Fisol Salleh.
Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Sungai Merah pada jam 9.10 pagi.
Polis memburu lelaki dipercayai perancang utama kes itu sejak Jumaat lepas, berikutan salah seorang daripada tiga suspek ditahan mengaku dibayar RM500 oleh suspek utama untuk menghantar nota ancaman berserta dua peluru hidup.
"Kami akan memohon perintah reman terhadap suspek esok dan akan membawanya ke Kuching untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu hari ini.
Beliau berkata, supek yang didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan memilik rekod jenayah lampau.
Menurut Fisol, dengan penahanan suspek utama itu, kes dianggap selesai.
Pegawai kanan kastam berusia 53 tahun membuat laporan polis pada 26 November lepas mendakwa menerima peluru hidup dalam satu bungkusan yang disertakan dengan nota berunsur ugutan, menyebut"got two bullets, one long one short, which one you want” di kediamannya di Jalan Matang, Kuching.
Susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 35 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Motif kejadian dipercayai ada kaitan dengan operasi khas dijalankan oleh bahagian penguatkuasaan Kastam Kuching di satu daerah di Sarawak pada awal November dan operasi tersebut diketuai oleh pegawai kanan kastam berkenaan.
"Kami memandang serius kes ini, terutama membabitkan ugutan berserta peluru hidup ke atas penjawat awam,” kata Fisol.
Sementara itu, Fisol berkata, berikutan penularan pandemik Covid-19 ketika ini, polis Sarawak tidak akan memohon penambahan anggota bagi penugasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun depan. - Bernama