MELAKA - Polis Melaka berjaya menumpaskan 26 kes sindiket pelaburan saham tidak wujud di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini yang melibatkan jumlah kerugian RM3.2 juta.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kebanyakan kumpulan sindiket berkenaan terdiri daripada warga asing dan ada dalam kalangan mereka hanya memiliki Pas Lawatan Sosial, yang kemudian menjadikan Melaka sebagai pusat panggilan bagi aktiviti jenayah terbabit.
"Kebiasaannya, sindiket ini mewujudkan satu laman sesawang pelaburan saham dan melalui laman itu, mereka akan mula memancing mangsa menggunakan beberapa komunikasi dan transkrip. Sekiranya mangsa mula mengetahui bahawa tindakan itu adalah satu penipuan, mereka terus menutup talian.
"Begitu juga apabila transaksi duit sudah berjalan dan ketika mangsa mengesyaki ada unsur penipuan, mereka akan memadam terus laman sesawang pelaburan saham terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini semalam.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, antara faktor menyebabkan kumpulan sindiket pelaburan saham itu memilih Melaka sebagai pusat panggilan adalah kerana bayaran sewa premis untuk mereka menjalankan aktiviti itu murah dan sistem telekomunikasi di sekitar negeri itu adalah baik.
Katanya, tangkapan terbaharu pasukan daripada Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Jabatan Siasatan Jenayah membabitkan 16 lelaki warga asing berumur antara 20 hingga 45 tahun dalam serbuan berasingan di kondominium di Jalan Tun Perak dan Taman Kota Laksamana pada 24 dan 27 November lalu.
Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati sasaran sindiket pelaburan saham itu adalah mangsa dari negara China dan proses mengenal pasti mangsa yang terlibat dengan pelaburan saham itu sedang dijalankan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama atas kesalahan tinggal lebih masa. - Bernama