Harga emas turun, jumlah pelanggan meningkat

Iklan
Roslina (kiri) melayani pelanggan yang datang membeli emas di kedainya.

KUANTAN - Penurunan mendadak harga emas menyebabkan orang ramai di daerah Kuantan turut mengambil kesempatan membeli emas.

Peniaga emas Roslina Hamid berkata, harga emas menurun sejak bulan lepas, berbeza dengan harga sebelum dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pernah mencecah RM280 pergram.

Iklan
Iklan

Katanya, penurunan itu juga menyebabkan ramai pelanggan berkunjung ke kedainya seawal jam 11 pagi.

"Pelanggan datang secara berperingkat dan pagi tadi agak ramai juga sehingga kita perlu sediakan kerusi di luar kedai bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Iklan

"Saya tak sangka akan terus menurun sebab selepas PKP kita jangka akan meningkat sehingga RM300. Sebaliknya turun sedikit demi sedikit dan kemudian turun mendadak seminggu ni.

"Masa turun ni elok beli sebab dijangka awal tahun depan meningkat semula," katanya ketika ditemui di premis beliau di Jalan Mahkota di sini.

Iklan
Orang ramai mengambil peluang membeli emas ketika harga rendah untuk tujuan simpanan masa depan.

Bagaimanapun, beliau berharap pelanggan yang datang mematuhi SOP yang ditetapkan.

Bagi pelanggan Siti Intan Husin, 40, Bukit Setongkol berkata, dia membeli emas yang ditempah bulan lalu bagi mendapatkan harga semasa hari ini iaitu RM233 segram.

"Saya ada buat tempahan gelang emas bulan lalu. Ketika itu harga semasa ialah RM246 segram. Apabila mendapat tahu harga jatuh kepada RM233 saya terus datang hari ini dan beli tunai," katanya.

Seorang lagi pelanggan, Zainura Mohd Nordin, 35, berkata, dia mengetahui harga emas turun melalui Facebook semalam dan datang ke kedai tersebut bagi membeli cincin untuk majlis pertunangan.