SEREMBAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sembilan bakal bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan peniaga mematuhi harga kawalan ditetapkan bagi 12 komoditi terpilih.
Pengarah Fama negeri, Muslim Manja berkata, melalui program ini pengguna dapat menikmati penjimatan lima sehingga 20 peratus, atau RM20 bagi setiap pembelian bernilai RM100 berbanding harga pasar awam.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, nilai jualan keseluruhan berjaya diperoleh menerusi 24 pasar tani di negeri ini berjumlah RM26.1 juta.
Katanya, Pasar Tani Ampangan yang mempunyai seramai 92 peniaga mencatatkan jualan tertinggi iaitu sebanyak RM3.2 juta diikuti Pasar Tani Paroi Jaya (RM3.1 juta) dan Pasar Tani Rembau (RM2.1 juta).
"Nilai jualan yang dicatatkan semua Pasar Tani seluruh negeri ini, menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, malah penglibatan peniaga dan usahawan juga semakin bertambah.
"Bagi tempoh awal tahun ini kita mempunyai sebuah Pasar Tani baru yang mula beroperasi awal Januari lalu di Taman Desa Kiara Sikamat, dan menjangkakan akan ada lagi pasar tani akan dibuka bagi membantu masyarakat mendapatkan keperluan rumah mereka dengan mudah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina 2019 di Pasar Tani Paroi Jaya, di sini, semalam.
Majlis disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon.
Sementara itu, Muslim berkata, bekalan keperluan harian di negeri ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina mencukupi, malah dijual dengan harga berpatutan menerusi Program Jimat Belanja di semua pasar tani.
Katanya, setakat ini bekalan makanan seperti ikan, udang, telur serta sayuran mampu menampung permintaan.
Menurutnya, sejak Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina 2019 dimulakan pada Khamis lalu, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan kekurangan bekalan atau harga mahal dari pasaran.
"Fama memberi jaminan kepada orang ramai bahawa bekalan makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di pasar tani adalah berpatutan, terkawal serta kompetitif.
"Fama juga akan memastikan peniaga pasar tani tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya dengan menjalankan pemantauan berterusan,” katanya.