STRATEGI pembangkang untuk membuktikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada sokongan majoriti melalui pentas Dewan Rakyat dilihat semakin kabur ketika ini selepas melalui dua episod kegagalan dalam tempoh seminggu.
Kegagalan pertama Pakatan Harapan (PH) bermula apabila Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan di Parlimen pada Khamis lalu selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen tanpa melalui undi belah bahagi.
Keputusan itu jelas bertentangan dengan apa yang dilaungkan PH sebelum ini yang nekad untuk menolak belanjawan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Meskipun pada awalnya ada percubaan daripada 13 blok pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminta undi belah bahagi dilakukan, namun atas faktor jumlah 15 orang tidak mencukupi, maka usul itu terpaksa ditolak.
Semalam, PH sekali lagi berdepan dengan kegagalan apabila Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan turut diluluskan.
Meskipun Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan itu ditentukan melalui undi belah bahagi dengan majoriti, namun sokongan ternyata tetap berpihak kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Melihat kepada perkembangan terbaharu itu, penganalisis politik berpandangan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berdepan krisis kepimpinan dan kepercayaan dalam kalangan ahli Parlimen gabungan parti itu.
Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, ia dapat dilihat apabila Anwar gagal membuat kesepakatan dalam menolak Belanjawan 2021 pada 26 November lepas.
Selain itu katanya, faktor perpecahan dalam kalangan pembangkang sendiri juga dilihat menjadi antara penyebab strategi untuk menjatuhkan kerajaan PN tidak berjaya.
"Saya beranggapan mungkin mereka sudah tidak mempunyai rasa hormat terhadap kepimpinan Anwar selaku Ketua Pembangkang dan perpecahan ini dilihat ketara lagi pada hari ini (semalam) apabila mereka kalah usul di peringkat jawatankuasa.
"Jadi saya merasakan pembangkang pada kali ini sedang menghadapi krisis kepimpinan. Itu yang dapat saya lihat mengapa pembangkang sentiasa gagal dalam memberikan tentangan atau menolak setiap usul yang dikemukakan oleh PN,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Pendapat sama turut dikongsi Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis yang menyifatkan pembangkang ketika ini tidak mempunyai konsensus.
Menurutnya, ia dapat dilihat apabila tiada kesepakatan dalam kalangan parti komponen PH dalam membuat keputusan mengenai Belanjawan 2021 pada Khamis lalu.
Keyakinan
"Kalau sudah dua kali gagal, saya rasa sesuatu perlu dilakukan... perlu ada perkara yang perlu dilihat terutamanya dalam memperbaiki hala tuju PH sebagai status pembangkang yang kuat.
"Sekiranya perkara ini berlaku secara berterusan, saya rasa daripada awal lagi pembangkang sudah menghadapi krisis keyakinan oleh rakyat terutamanya mengenai kemampuan mereka untuk menjadi pembangkang yang berkesan.
"Jadi, bagi saya sekiranya PH ingin tampil dengan status pembangkang yang kuat, mereka perlu berbuat sesuatu kerana masih banyak lagi perbahasan peringkat kementerian yang akan berlangsung,” katanya.
Menurutnya, tindakan pembangkang yang tidak selari dengan kenyataan-kenyataan tegas yang dibuat sebelum ini juga secara tidak langsung akan menghakis keyakinan rakyat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam ciapan di laman Twitternya semalam secara sinis mendakwa kedudukan Muhyiddin dan kerajaan PN tidak akan bertahan lama.
Menurutnya, ia dapat dilihat dengan kemenangan tipis diterima PN melalui undi belah bahagi Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.
"Undian Belanjawan (2021) di peringkat jawatankuasa di JPM. Tidak hadir 20, tidak setuju 95... setuju 105... tak lama dah TSMY dan PN ni,” ciapnya.
Respons yang dibuat Mujahid itu juga dilihat ada asasnya kerana masih banyak kementerian yang belum membuat perbahasan di peringkat jawatankuasa.
Enam selesai tetapi lebih 20 kementerian lagi masih menunggu penuh debar sama ada Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa kementerian masing-masing lulus atau sebaliknya.