FAM, MFL perlu selamatkan Liga-M

Iklan
Aksi pusingan pertama Piala Malaysia antara Selangor dan Melaka United di Stadium Hang Jebat pada 8 November lalu. - Foto FB Selangor FC

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu membuat apa sahaja yang terdaya dalam usaha menyelamatkan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan susulan dua penaja utama iaitu CIMB dan AirAsia telah menarik diri.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kedua-dua badan bola sepak negara itu berada pada tahap kritikal ketika ini dengan cabaran yang perlu ditempuhi dalam tempoh pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Saya boleh katakan situasi ini antara yang paling kritikal dan agak sukar buat FAM dan MFL. Saya sebagai sebahagian warga bola sepak simpati dengan apa yang dilalui liga kita ketika ini.

"Esok (hari ini) dah masuk bulan Disember, dalam keadaan tempoh yang singkat sebelum liga bermula penghujung Februari depan, memang kelihatan agak sukar untuk mencari penaja dengan jumlah tajaan jutaan ringgit.

Iklan

"Namun, mereka (MFL dan FAM) perlu mencuba cari penajaan atau memikirkan cara lain agar liga kita ini tidak mati dan boleh berjalan seperti biasa sebagaimana yang telah dirancang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, MFL mengumumkan dua penaja utama saingan Liga-M iaitu CIMB dan AirAsia telah mengumumkan untuk menarik diri daripada melanjutkan tajaan dalam Liga-M mulai musim depan.

Iklan

Perkhabaran itu sekali gus menimbulkan kesukaran buat FAM dan MFL untuk mencari penaja dalam masa terdekat sebelum saingan Liga-M 2021 membuka tirainya pada 26 Februari depan.

Begitupun, MFL mungkin mampu menghela nafas lega apabila Telekom Malaysia (TM) dilaporkan kekal komited untuk menjadi penaja Liga-M manakala F&N100Plus pula sedia meneruskan komitmen tajaan berbentuk barangan.

Mengulas lanjut, Mohd Azraai berharap ada syarikat konglomerat besar sudi tampil sebagai penaja selain meminta campur tangan pihak kerajaan dalam membantu sukan nombor satu negara itu.

"Saya pasti FAM dan MFL juga tidak tidur lena memikirkan perkara ini. Kita doakan supaya ada individu berpengaruh atau syarikat-syarikat yang akan datang berikan penajaan.

"Sukan bola sepak ini sukan nombor satu di Malaysia dan melibatkan banyak pihak. Kita mahu lihat sukan bola sepak ini dapat diteruskan walaupun negara masih dibelenggu krisis pandemik Covid-19,” ujarnya.