Top Glove bakal dituduh langgar Akta 446

Iklan
Top Glove bakal berdepan dengan 63 pertuduhan di mahkamah. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Beberapa syarikat termasuk syarikat pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, Top Glove bakal berdepan dengan 63 pertuduhan di mahkamah.

Ia berikutan syarikat-syarikat berkenaan melanggar Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) yang dikuatkuasakan sejak September lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Asri Ab Rahman berkata, pertuduhan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Sebanyak 21 kertas siasatan termasuk 19 daripadanya melibatkan syarikat Top Glove yang telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan itu diambil berikutan operasi penguatkuasaan dilakukan secara serentak di lima negeri pada 26 November lalu.

Iklan

"Kita dapati sesetengah sub sektor gagal menyediakan penempatan yang kondusif kepada pekerja mereka selain tiada Sijil Perakuan Kelayakan (CF)," katanya.

Beliau berkata, sekiranya disabitkan dengan kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan dan mereka juga boleh dipenjarakan.

Iklan

Dalam pada itu, Asri berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi dengan perkara ketidakpatuhan majikan terhadap akta itu.

Justeru, katanya, kementerian menyeru majikan dan penyedia penginapan berpusat agar segera membuat perakuan penginapan.

Ditanya mengenai jumlah majikan yang membuat perakuan penginapan, beliau berkata pihaknya menerima 665 permohonan dan hanya 30 peratus daripada jumlah itu yang mendapat kelulusan.

Katanya, jumlah majikan yang memohon juga jauh lebih rendah daripada jumlah sebenar syarikat yang menyediakan kemudahan itu kepada pekerja mereka.

"Di luar sana terdapat 54,000 majikan yang menyediakan kemudahan penginapan di tempat mereka dan berdasarkan akta tersebut, keluasan bagi 800 kaki persegi hanya sesuai untuk ditempatkan enam pekerja sahaja.

"Walaupun masih banyak majikan gagal mematuhi akta tersebut, namun masih terdapat beberapa syarikat yang menyediakan penginapan terbaik kepada pekerja mereka.

"Bagi industri getah, Hartalega adalah yang terbaik manakala sektor perladangan adalah Sime Darby. Kilang Intel yang terletak di Pulau Pinang merupakan penyedia penempatan sektor elektrikal dan elektronik terbaik," katanya.

Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dikuatkuasakan pada Jun, kemudian diberi kelonggaran hingga 1 September lalu.

KSM menumpukan operasi terhadap pematuhan itu berikutan terdapat banyak kluster Covid-19 berkaitan tempat kerja direkodkan.

Antara kluster tempat kerja yang masih aktif adalah Kluster Teratai, Kluster Tapak Bina Damanlela dan Kluster Tapak Bina Puteh Lama.