Keluarga Norwahidah terima pencen penakat

Iklan
Mahfuz (dua, kanan) menyampaikan cek faedah kepada Abdul Hamid dan Zaiton.

AYER HITAM - Keluarga Norwahidah Abdul Hamid, 28, bersyukur menerima bayaran faedah pengurusan mayat dan pencen penakat daripada Perkeso, semalam.

Bapanya Abdul Hamid Yunus, 57, berkata, bayaran berkenaan dibuat selepas Allahyarham anaknya didapati mencarum dengan Perkeso melalui kerja sambilan sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Lembah Klang sebelum ini.

Iklan
Iklan

Katanya, dia dan juga isterinya Zaiton Ismail, 57, sebelum ini ada merancang untuk membuat semakan di Perkeso mengenai caruman anak sulung mereka itu.

"Alhamdulillah urusan kami dipermudahkan apabila pihak Perkeso sendiri yang menghubungi kami untuk urusan bayaran ini pada 31 Januari lalu," katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Cek Faedah Pengurusan Jenazah di rumah nenek Allahyarham di Kampung Baru Tepi Laut, Ayer Hitam di sini, semalam.

Iklan

Dalam majlis berkenaan, Abdul Hamid dan Zaiton menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 selain bakal mendapat faedah pencen penakat sebanyak RM139.58 sebulan seorang yang akan dibayar secara berkala sepanjang hayat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, berdasarkan semakan oleh Skuad Perkeso Prihatin, Allahyarham mempunyai caruman Perkeso sehingga Mac 2018 yang melayakkan keluarga yang ditinggalkan menerima pencen.

Iklan

"Kegigihan Allahyarham dalam mencari rezeki sehingga melakukan kerja sambilan patut dicontohi oleh anak muda yang lain.

"Malah saya juga ingin menasihatkan semua majikan supaya membuat caruman kepada pekerja-pekerja mereka.

"Manakala pekerja pula perlu tahu yang mereka juga mempunyai hak untuk dicarumkan oleh majikan bagi melindungi mereka," katanya.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Kedah, Mamsor Abdul Manaf dan Pengarah Perkeso Perlis, Mohd Asri Mohd Rasid.

Dalam kejadian 28 Januari lalu, Norwahidah bersama pasangannya Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri maut dalam kebakaran

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri maut terbakar diklasifikasi sebagai kes bunuh