BEBERAPA kali gagal dalam perniagaan yang diceburinya, Nurul Azimah Mohamad Noor tidak pernah mengenal erti putus asa dan kini beliau boleh berbangga dengan kejayaan dikecapinya.
Berkat usaha gigihnya, wanita berusia 36 tahun itu yang pada mula berniaga dengan membantu ibunya, Maimonah Mohd Nor, 56, menjual nasi ambeng di Pasar Pagi Sungai Besar, Sabak Bernam telah berjaya mengubah taraf hidup keluarganya.
Menurutnya, tidak mahu hanya sekadar berniaga Nasi Ambeng Cik Ngah yang diusahakan ibunya selama lebih 10 tahun, beliau cuba menjana pendapatan tambahan dengan menjual pelbagai produk sebelum ini.
"Saya cuba menjual pelbagai produk sebelum ini tetapi tidak berjaya sehinggalah saya tahu dan mengenali produk-produk Devisa Beauty And Health (Devisa) pada tahun 2017.
"Pada mulanya saya mengeluarkan modal sebanyak RM270 dengan membeli tiga botol jus delima Devisa dan mencubanya terlebih dahulu. Selepas yakin dengan kebaikan produk ini, saya memperkenalkan pula kepada orang lain supaya mereka turut mendapat manfaat daripadanya," katanya kepada Sinar Harian.
Nurul Azimah berkata, beliau memanfaatkan platform media sosial khususnya Facebook untuk mengiklan, mempromosi dan memasarkan produk jualannya di alam maya.
Katanya, beliau kerap membuat penstriman langsung menerusi akaun Facebook https://www.facebook.com/MrszLululll/ dan platform itu membantunya memperoleh ramai pelanggan.
"Setiap hari saya akan ambil masa satu atau dua jam untuk buat 'live' dan kadang-kadang hingga enam sesi. Daripada 20 pelanggan kini saya memiliki lebih 2,000 pelanggan tetap serta ada 30 stokis dan 200 ejen di bawah saya.
"Dalam situasi norma baharu sekarang orang ramai memilih untuk membeli barang secara dalam talian untuk mengelak dari keluar dan terdedah kepada risiko dijangkiti Covid-19. Jadi saya memanfaatkan peluang yang tersedia dan aktif mempromosikan produk di Facebook," katanya.
Nurul Azimah berkata, beliau sentiasa fokus dengan impian yang ingin dicapai dan berusaha keras untuk merealisasikannya.
Beliau berkata, wanita perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran termasuk keusahawanan sebagai persediaan menempuh saat sukar.
"Mencari pekerjaan juga bukan mudah, apatah lagi jika mempunyai anak kecil atau sakit yang memerlukan perhatian.
"Jadi, saya ingin menyarankan golongan wanita khususnya suri rumah supaya cuba menjana pendapatan sendiri dan bidang perniagaan secara dalam talian," katanya.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, beliau ingin membantu lebih ramai wanita menceburi bidang perniagaan supaya mereka dapat mengubah nasib diri dan keluarga.
Wanita cekal itu berkata, ibu dan suaminya, Mohd Akhiar Mohd Sanid, 36, serta tiga anaknya yang berusia 10 hingga 14 tahun sentiasa memberikan dorongan dan mereka merupakan tulang belakangnya.
Katanya, walaupun fokusnya kini menjual produk-produk Devisa namun beliau tetap membantu ibunya meneruskan perniagaan nasi ambeng.