KOTA BHARU – Pasangan suami isteri yang masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah dan IPD Pasir Mas di sini didapati positif Covid-19 yang berpunca daripada pengasuh anak mereka yang disahkan positif pandemik itu.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pegawai perempuan berusia 33 tahun tersebut adalah dari cawangan pelesenan IPD Tanah Merah dan suaminya yang berusia 34 tahun pula dari cawangan pengangkutan IPD Pasir Mas.
"Punca jangkitan adalah dikatakan daripada pengasuh kepada anak pegawai kanan tersebut yang mana pengasuh berkenaan disahkan positif Covid-19 di bawah Kluster Mengketil.
"Pegawai kanan dan keluarganya telah diarahkan untuk menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tanah Merah pada 29 November dan dipakaikan gelang merah jambu,” katanya.
Menurutnya, hasil ujian swab yang dijalankan, Pejabat Kesihatan Daerah Tanah Merah semalam telah memaklumkan yang pasangan tersebut positif Covid-19, namun keempat-empat anaknya pula negatif wabak itu.
Mereka dihantar ke Hospital Tumpat untuk rawatan bersama kesemua anak-anaknya kerana masih kecil dan tiada penjaga.