Covid-19: Terengganu hilang setengah juta pelancong

Iklan
Sektor pelancongan di Terengganu kehilangan kira-kira 500,000 pelancong sepanjang tahun ini akibat penularan pandemik Covid-19. Gambar kecil: Ariffin

MARANG - Sektor pelancongan di Terengganu kehilangan kira-kira 500,000 pelancong sepanjang tahun ini akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia menjadikan purata kunjungan pelancong tahun ini menunjukkan penurunan kepada 4.7 juta berbanding 5.2 juta pengunjung tahun lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pengurangan itu dipengaruhi kemerosotan pengunjung dari Pantai Barat Semenanjung serta negara luar.

"Menjelang hujung tahun biasanya kita mengalami penurunan jumlah pelancong terutama pada November dan Disember disebabkan penutupan kawasan peranginan akibat musim tengkujuh.

Iklan

"Namun, tahun ini kemerosotan pengunjung bukan sahaja disebabkan musim tengkujuh, ia turut dipengaruhi kesan penularan pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi apabila berlaku peningkatan kes di negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin industri itu akan kembali pulih apabila negara telah mendapat bekalan vaksin Covid-19.

Iklan

"Tempoh enam bulan bermula Mac, April, Mei, Jun, Julai dan Ogos setiap tahun adalah tempoh masa negeri ini menerima jumlah kehadiran pengunjung yang ramai, namun tahun ini ia tidak berlaku disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi membendung Covid-19.

"Saya percaya apabila vaksin telah diperoleh dan rakyat telah menerima vaksin ia akan membantu memulihkan kembali sektor pelancongan yang selama ini terjejas malah saya yakin, Terengganu akan terus menjadi destinasi pilihan pengunjung dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sasaran pengunjung ke Terengganu tahun hadapan beliau berkata, ia masih bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19 di dalam negara.

"Kita sasarkan 5.5 juta pengunjung namun sekiranya sehingga Jun 2021 Covid-19 masih belum berjaya dibendung, kita mungkin hanya boleh sasarkan sehingga 5 juta pengunjung,” katanya.