PROJEK SkyAwani V Residence yang dibangunkan oleh pemaju hartanah bandar, SkyWorld Development Group (SkyWorld) di Sentul telah 95 peratus ditempah menerusi platform dalam talian Click2Own yang dilancarkan pada 27 September lalu.
Ketua Pegawai Operasi Skyworld, Lee Chee Seng berkata, platform dalam talian membolehkan calon pembeli memilih unit yang diinginkan.
Menurutnya, Skyworld merupakan pemaju pertama di Malaysia yang mempermudah proses tempahan unit dalam talian hartanah melalui Click2Own.
"Kaedah ini menjimatkan masa berbanding amalan tempahan konvensional dan sesuai dengan gaya hidup pantas di bandar," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata, proses membuat tempahan unit melalui Click2Own hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk diselesaikan.
Menurutnya, terletak di sebidang tanah seluas 2.06 ekar, SkyAwani V Residence merangkumi sejumlah 615 unit kediaman di sebuah bangunan 38 tingkat.
Katanya, unit-unit itu akan dilengkapi susun atur tiga bilik tidur dan dua bilik mandi. Bangunan itu seluas 800 kaki persegi dan harga jual tetapnya ialah RM300,000.