SEREMBAN -"Cermin mata ada, tapi dah tak jelas macam dulu. Syukur sangat bila ada yang membantu," kata Zaiton Hasan, 68, yang gembira apabila menerima bantuan membuat cermin mata baharu.
Menurutnya, dia diminta untuk membuat cermin baharu oleh pihak hospital selepas membuat pemeriksaan matanya baru-baru ini berikutan kadar rabunnya bertambah.
Bagaimanapun katanya, harga untuk membuat cermin mata baharu yang agak mahal dia terpaksa menangguhkan hasratnya itu.
"Saya pun dah tak ingat bila kali terakhir buat cermin mata, sekarang dah kabur dan jadi tak selesa.
"Tapi saya masih pakai lagi sebab ini yang ada. Cuma susah sikitlah terutama bila saya mahu mengaji al-Quran dan membaca," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menerima bantuan membuat cermin mata baharu daripada Persatuan Cakna Taman Rasa Sayang (PCRS) di Senawang di sini semalam.
Selain itu katanya, dia juga mempunyai masalah asma dan tulang belakang bengkok manakala suaminya Madin Bakar berusia 71 tahun menghidap penyakit gout dan kencing manis.
Zaiton berkata, dia menyara kehidupannya seharian dengan bantuan bulanan yang diterima daripada Baitulmal sebanyak RM250 selain turut dibantu dua anaknya.
"Untuk belanja harian itu tiada masalah sangat. Tapi nak buat cermin mata ini agak mahal. Bila ada yang membantu ini senang sikit hati saya.
"Terima kasih sangat-sangat. Saya betul-betul bersyukur, hanya ALLAH mampu membalasnya," katanya.
Sementara itu Pengerusi PCRS, Zulkifli Mohamed berkata, harga cermin mata yang mahal menyebabkan kebanyakan asnaf terutamanya warga emas terpaksa menggunakan cermin mata yang tidak lagi sesuai dengan penglihatan mereka.
"Ia terpaksa ditangguhkan kerana mereka merasakan ada lagi keperluan lain lebih penting berbanding menukar cermin mata baharu.
"Biasanya tahap rabun warga emas ini tinggi, jadi memerlukan kos lebih besar untuk menempah kanta yang sesuai. Saya anggarkan harganya melebihi RM400 dan sudah tentu menjadi beban buat mereka," katanya.
Beliau berpendapat bantuan membuat cermin mata atau mengganti cermin mata baharu amat bernilai buat golongan berkenaan.