KUALA LUMPUR - Ketelusan kerajaan memberikan penerangan jelas mengenai keselamatan vaksin Covid-19 kepada masyarakat, amat penting dalam memastikan usaha memerangi pandemik itu di negara ini berjaya dan membuahkan hasil.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pendekatan itu juga dapat mengelakkan kekeliruan berkaitan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat sekali gus dapat menangkis persepsi negatif serta momokan oleh golongan antivaksin.
"Sebenarnya apa jua vaksin, ia telah melalui ujian klinikal terutamanya di negara maju. Jika ada mengatakan mereka yang mengambil vaksin tersebut adalah sebagai bahan uji kaji, ia adalah tidak benar.
"Maklumat yang mengelirukan (mengenai vaksin Covid-19) akan merugikan rakyat, khususnya mereka yang memerlukan iaitu warga emas dan golongan berisiko," katanya ketika dihubungi Bernama.
Justeru, Dr Zainal Ariffin berkata, badan bukan kerajaan (NGO) harus memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang betul dan sahih mengenai vaksin kepada masyarakat.
Jelasnya kenyataan yang mengelirukan kepada masyarakat mengenai sesuatu vaksin adalah tidak bertanggungjawab dan ia seharusnya dikenakan tindakan agar individu dan pihak terlibat mendapat pengajaran sewajarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, soal status halal sesuatu vaksin dapat ditentukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi kegunaan umat Islam.
Beliau juga tidak bersetuju dengan kenyataan beberapa pihak yang mengatakan golongan yang bakal diberikan vaksin Covid-19, hanya bertujuan untuk dijadikan bahan uji kaji.
"Vaksin Covid-19 mesti berpandu kepada bukti sainstifik," katanya menambah Perdim menyokong sekiranya tindakan diambil terhadap pihak yang ekstrem sehingga membantutkan usaha kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 di negara ini.
"Kita tidak mempersoalkan pendirian golongan antivaksin itu, tetapi mereka janganlah mengeruhkan keadaan kerana kerajaan telah melakukan yang terbaik," kata Dr Ahmad Shukri.
Minggu lepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan seramai 9.6 juta atau 30 peratus rakyat Malaysia dijangka memperoleh vaksin Covid-19 tahun hadapan.
Golongan berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan dan warga emas yang bakal menjadi kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19 di negara ini bukanlah dianggap sebagai 'tikus makmal’, sebaliknya mereka menerima vaksin yang terbukti selamat dan telah menjalani ujian klinikal berskala besar.
Beliau juga memberi jaminan vaksin Covid-19 yang akan digunakan di Malaysia kelak mesti melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal itu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 percuma kepada rakyat Malaysia: PM
6.4 juta rakyat Malaysia bakal terima vaksin Covid-19: PM
Golongan antivaksin tolak vaksin Covid-19
Golongan antivaksin ancaman kepada negara