Kerajaan komited percepat projek pembangunan 2021

Iklan
Mustapa Mohamed

SHAH ALAM- Kerajaan komited mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan bagi menggerakkan semula ekonomi kerana ia akan memberikan kesan pengganda yang besar kepada negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Mesyuarat Pelan Perancangan Pelaksanaan Projek Pembangunan bagi Tahun 2021 dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali diadakan pada hari ini.

Iklan
Iklan

"Mesyuarat diadakan untuk mengenal pasti kaedah mempercepatkan pelaksanaan projek-projek sambungan dan memastikan projek baharu dapat segera dilaksanakan pada tahun hadapan.

"Kerajaan mendapati langkah-langkah yang diambil untuk mempercepatkan perbelanjaan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) melalui kelonggaran beberapa peraturan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) memberikan kesan positif kepada pelaksanaan projek,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut mengenal pasti beberapa langkah penambahbaikan dan kelonggaran prosedur tersebut yang akan diteruskan pada tahun 2021.

"Langkah-langkah penambahbaikan dan kelonggaran prosedur tersebut yang dilaksanakan pada tahun 2020 antaranya ialah Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan selewat-lewatnya 31 Ogos 2020 dan memantau dengan rapi prestasi perbelanjaan pembangunan melalui sesi libat urus Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan kementerian,” katanya.

Iklan

Katanya, langkah lain ialah Jabatan Kerja Raya melaksanakan kaedah pra-kelayakan dengan memendekkan tempoh SST dari enam bulan ke tiga bulan, melonggarkan peraturan berkaitan perolehan kerajaan dan mewujudkan mekanisme pemantauan khusus serta Jawatankuasa Pemudahcara dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi menyelesaikan isu pelaksanaan projek.

"Mesyuarat ini juga mengarahkan semua kementerian untuk mengemukakan perancangan pelaksanaan projek pembangunan untuk tahun 2021 kepada pejabat Ketua Setiausaha Negara sebelum 31 Disember 2020.

"Perancangan ini termasuklah jangkaan tarikh untuk panggilan tender, tarikh bermula pelaksanaan. Ia juga dikehendaki mengenal pasti beberapa masalah yang mungkin timbul,” katanya.

Mustapa berkata, projek-projek sambungan dan baharu penting untuk kesejahteraan rakyat dan untuk menggerakkan ekonomi.

"Ia juga akan dapat merapatkan jurang pembangunan antara wilayah,” katanya.

Menurutnya, bagi menggerakkan semula ekonomi, kerajaan telah menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan projek kecil dan sederhana dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan Prihatin yang dipantau oleh Unit Penyelarasan dan Koordinasi (ICU) berjumlah RM4 bilion.

Katanya, sehingga 30 November 2020, sebanyak 8,157 daripada 8,559 projek telah ditawarkan kepada kontraktor kelas G1, G2 dan G3 di bawah PRE.

"Bagi projek di bawah Prihatin yang melibatkan 4,658 projek, sebanyak 3,758 projek sudah pun selesai ditawarkan kepada kontraktor kelas yang sama.

"Kerajaan memperuntukkan RM69 bilion untuk DE dalam Belanjawan 2021, sebanyak 45 peratus daripadanya adalah projek sambungan dan 55 peratus untuk projek baharu.

"Peranan perbelanjaan sektor awam adalah kritikal dalam tempoh ini apabila pihak swasta, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi cabaran untuk menggerakkan dan memulihkan ekonomi,” katanya.

Mustapa berkata, sebanyak 3,834 projek sambungan dan tidak ada masalah dalam melaksanakannya manakala sebanyak 2,558 projek baharu adalah penting perancangan awal dibuat untuk memastikan pelaksanaan pada tahun 2021 adalah lancar.