43,000 rakyat Kelantan gagal mencarum Perkeso

Iklan
Nora (tiga dari kiri) menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat kepada waris bekas kakitangan Kumpulan Utusan Malaysia (Malaysia) Berhad, Siti Hanizah iaitu Che Jabariah (tiga dari kanan) dan Nor Syahila (dua dari kanan) dan Mohd Noordin (kanan) di rumah mereka di Kampung Sungai Long, Jeli.

JELI - Seramai 43,000 rakyat Kelantan yang bekerja sendiri dikesan gagal mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, kebanyakan golongan ini dilihat mengambil sikap mudah walaupun pelbagai sesi penerangan telah dilakukan berkaitan dengan skim caruman yang disediakan oleh agensi berkenaan.

Iklan
Iklan

"Mereka yang bekerja sendiri kita ada tawarkan caruman di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) yang mempunyai pelbagai kelebihan.

"Caruman SPS ini sekitar RM13.10 untuk setiap bulan," katanya kepada pemberita di Kampung Sungai Long di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu beliau turun padang menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat kepada waris bekas kakitangan Kumpulan Utusan Malaysia (Malaysia) Berhad, Siti Hanizah Mohd Noordin, 32, yang meninggal dunia pada 18 November lalu akibat kemalangan jalan raya di Kampung Kuala Itek, Rantau Panjang.

Dalam kunjungan itu, Perkeso Kelantan turut menyerahkan faedah pencen penakat berjumlah RM813.75 setiap bulan kepada kedua ibu bapa Siti Hanizah, Che Jabariah Abas, 60, dan Mohd Noordin Isa,68, seumur hidup.

Iklan

Adik arwah, Nor Syahila, 20, turut menerima faedah pencen penakat berjumlah RM813.75 setiap bulan sehingga berusia 21 tahun.

Selain itu, arwah yang terkesan dengan penutupan operasi Kumpulan Utusan Malaysia (M) Berhad sebelum ini turut menerima Faedah Elaun Mencari Pekerjaan di bawah Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) sepanjang lima bulan berjumlah RM9,546.65.

Menurutnya, terdapat 20 bidang pekerjaan yang boleh mencarum di bawah SPS.

Beliau berkata, Perkeso Kelantan akan terus turun padang memberikan penerangan berkaitan kelebihan membuat caruman bersama agensi itu.

Nora berharap, rakyat Kelantan tidak mengambil mudah sebaliknya datang ke Perkeso untuk membuat caruman.

"Insya-ALLAH kami akan bantu sebaik mungkin dalam hal ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nora berkata, sepanjang Januari hingga semalam Perkeso Kelantan telah membayar lebih RM9.39 juta manfaat kepada para pencarum.